Selangor: Tiada solat Jumaat, akad nikah secara sidang video

0
47
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam. GAMBAR: Abd Razak Aid

SHAH ALAM – Tiada solat Jumaat dan solat fardhu berjemaah di masjid serta surau di Selangor sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, solat Jumaat digantikan dengan solat zuhur di rumah masing-masing sepanjang tempoh PKP.

Bagaimanapun katanya, hanya lima petugas masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau dibenarkan menunaikan solat Jumaat serta solat fardu secara berjemaah pada setiap waktu.

Bagi majlis akad nikah pula katanya, ia akan dijalankan secara sidang video hanya kepada pasangan yang telah mendapat kebenaran berkahwin dan tarikh janji temu akad nikah oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) atau di masjid pengurusan.

“Pelaksanaan akad nikah secara sidang video akan dilakukan pendaftar yang berada di PAID manakala pengantin, wali dan dua saksi berada di rumah. Pegawai Tadbir Agama (PTA) setiap daerah akan menetapkan pelaksanaan majlis akad nikah berdasarkan janji temu yang telah diatur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata perkhidmatan utama JAIS khususnya melibatkan urusan nikah, cerai dan rujuk dilakukan secara dalam talian selain 10 kaunter talian telefon untuk konsultasi dan urusan janji temu dibuka.

Sementara itu, solat Jumaat di semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan dibenarkan sehingga 30 orang sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail berkata ketetapan berkenaan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam satu kenyataan beliau berkata, solat fardu pula hanya dibenarkan dengan maksimum lima jemaah, yang terdiri daripada ahli jawatankuasa dan pegawai-pegawai masjid.

Selain itu, katanya laungan azan bagi solat fardu lima waktu hendaklah diteruskan seperti biasa, namun semua aktiviti pengimarahan di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan perlu ditangguhkan buat sementara waktu.

“Aktiviti pengimarahan seperti kuliah, ceramah dan seumpamanya boleh dilaksanakan secara dalam talian atau FB Live yang dibuat di kediaman penceramah dan dikongsikan kepada ahli kariah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengurusan masjid untuk mematuhi dan memastikan Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan diikuti termasuk mewujudkan kaunter di pintu masuk untuk memeriksa suhu badan, sanitasi dan merekod kehadiran jemaah.