Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong meninjau banjir menggunakan sampan di Kampung Aceh, Pekan hari ini. / Gambar Facebook Istana Negara

PEKAN – Walaupun perlu menggunakan sampan, ia nyata tidak menghalang Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Azizah Maimunah Iskandarian daripada terus menzahirkan keprihatinan menyantuni mangsa-mangsa banjir.

Dalam tinjauan hari ini, Al-Sultan Abdullah dan Tuanku Hajah Azizah menggunakan sampan untuk meninjau situasi banjir di Kampung Acheh, di Pekan.

Memetik satu hantaran di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kampung Acheh dan Balai Raya Kampung Acheh dan meluangkan masa menyantuni mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS tersebut.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Kampung Aceh./ Gambar FB Istana Negara

Dalam lawatan ini, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana banjir.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berdua dijadualkan meneruskan lawatan ke beberapa buah kampung di sekitar Pekan, Pahang yang telah dilanda bencana banjir.

Turut mengiring, anakanda-anakanda Seri Paduka Baginda berdua, Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Sejak minggu lalu, Seri Paduka Baginda Berdua terus menyantuni mangsa-mangsa banjir di pelbagai daerah./ Gambar FB Istana Negara

Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua ini mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi Baginda berdua terhadap mangsa-mangsa banjir yang memerlukan bantuan.

Seri Paduka Baginda berdua mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan.