sekatan jalan
Sekatan Jalan Raya (SJR) di pelbagai lokasi susulan pelaksanaan PKP / Gambar Hiasan ABD RAZAK AID

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, kebenaran polis tidak lagi diperlukan bagi pekerja dalam sektor perkhidmatan penting untuk bergerak merentas daerah atau negeri.

Ismail Sabri Yaakob./ Gambar FB Mindef

“Ada surat, atau pas pekerja yang tunjuk mereka dari syarikat perkhidmatan penting sudah tak perlu surat kebenaran polis.

“Macam pemandu lori sayur dari Cameroh Highlands yang perlu ke Pasar Borong Selayang, tak perlulah ada kebenaran polis setiap hari. Surat majikan sudah cukup.

“Ini salah satu contoh. Surat (majikan) pun cukup,” kata Ismail Sabri dalam sidang akhbar hariannya hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis tidak akan berkompromi, sebaliknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mahu merentas negeri terutama di kawasan PKP, bermula Sabtu ini.

Sejak PKP dilaksanakan kembali semalam, pihak berkuasa masih dalam ‘mood’ memberi nasihat.

Jelas beliau, kompaun akan dikenakan secara terus di lapangan kepada individu yang didapati melanggar perintah ditetapkan.

“Bagi tempoh tiga hari sehingga esok, kita (kerajaan) masih dalam ‘mood’ memberi nasihat dan tiada tindakan dikenakan ini kerana mungkin sebahagian besar rakyat terlupa selepas kita bebas daripada PKP tahun lalu.

“Namun selepas esok, polis tidak akan berkompromi lagi dan akan terus mengambil tindakan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, berdasarkan pemerhatian di sekitar pusat bandaraya, jumlah kenderaan tidak banyak dan tidak sesibuk seperti sebelum ini berkemungkinan semua masyarakat patuh dengan arahan diberikan.