KUALA LUMPUR – Pada sidang akhbar Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz 12 Januari lalu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berada di sebelahnya.
Dan seperti mana Ahli Parlimen Padang Rengas itu, Tajuddin turut disahkan positif COVID-19 dan kini sedang menjalani kuarantin.
Begitulah secara umumnya virus itu merebak seperti mana yang sering diingatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mulanya Mohamed Nazri menjalankan ujian saringan selepas seorang penulis blog yang hadir sidang akhbarnya di Ibu Pejabat UMNO minggu lalu itu memaklumkan dijangkiti virus berkenaan.
Dalam satu kenyataan di Facebook pagi ini, Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) itu memberitahu menjalani ujian saringan COVID-19 semalam.
Menurut kenyataan itu, Tajuddin memohon maaf di atas sebarang kesulitan dan berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan beliau.
Tajuddin menjadi kontak rapat kepada Mohamed Nazri yang kini menjalani kuarantin di hospital di Kota Bharu.
Beberapa ahli politik termasuk menteri Kabinet juga sebelum ini disahkan positif COVID-19 san sedang menjalani kuarantin.
Ini termasuk Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun serta Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Nazri.