Muhammad Sanusi Md Nor/ Gambar FB MB Kedah

ALOR SETAR: Selepas dikritik pelbagai pihak susulan membatalkan cuti sambutan Thaipusam di Kedah, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau tidak sama sekali berniat menafikan hak penganut Hindu.

Beliau berkata, keputusan kerajaan negeri tidak mengambil cuti peristiwa berkenaan sama sekali bukan mahu mengenepikan hak mana-mana rakyat di negeri ini.

“Ketika tiada cuti peristiwa untuk perayaan Thaipusam di Kedah sejak sebelum Merdeka lagi, ia tetap disambut bebas dan meriah, hanya dua tahun terakhir ini ia dijadikan cuti peristiwa, bukan cuti umum rasmi negeri.

“Jadi penganut agama terbabit boleh menyambutnya di mana-mana saja dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Cuma sekarang semua orang sedang ‘dicutikan’ akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika dihubungi BH Online hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan bahawa keputusan Muhammad Sanusi itu menyerlahkan sikap angkuh dan jahil beliau terhadap penganut Hindu.

Muhammad Sanusi menjelaskan, MIC tidak sepatutnya menjadikan semua isu sebagai modal politik kerana kerajaan dan rakyat mempunyai isu lebih besar iaitu berdepan pandemik COVID-19.

“Kita ada PKP dan Ordinan Darurat yang sedang berkuat kuasa, jadi jangan politikkan semua perkara. Ini soal keselamatan dan nyawa seluruh rakyat Malaysia.

“Jika beberapa orang dalam MIC mahu cuti umum sempena Thaipusam, mereka boleh melobi kerajaan Persekutuan mengumumkan cuti umum untuk seluruh negara. Kedah sudah ada keputusan dalam hal ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, terdapat hanya 6.8 peratus masyarakat India di Kedah dan mereka ada yang menganut agama Hindu, Islam dan Kristian.

“Saya sudah berjumpa dengan tiga kumpulan masyarakat India mewakili penganut Hindu minggu lalu, untuk menjelaskan mengenai keputusan ini.

“Jadi MIC ini pejuang apa, India atau Hindu? Cuti peristiwa yang terhad kuotanya patut dipertimbang untuk acara lebih besar atau untuk seluruh rakyat Kedah bukan untuk kaum dan agama tertentu sahaja,” katanya.