KOTA BHARU – Alhamdulillah selepas 12 hari termasuk tiga hari mencemaskan di Unit Rawatan Rapi (ICU) bertarung dengan COVID-19, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed kini dibenar discaj.
Perkara tersebut dimaklumkan Ahli Parlimen Jeli itu menerusi Facebook beliau sebentar tadi yang turut berkongsi detik-detik mencemaskan sepanjang di hospital.
“Alhamdulillah syukur kepada Allah setelah 12 hari bertarung di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu dengan pemantauan rapi oleh doktor, jururawat dan barisan hadapan, pada jam 4.30 petang ini saya dibenarkan keluar hospital.
“Dalam tempoh 12 hari di hospital, sudah pasti yang paling mencemaskan ialah semasa tiga hari di ICU, apabila ada sedikit masalah pernafasan dan kekurangan tenaga. Namun dengan pemantauan rapi doktor dan jururawat, serta keyakinan penuh kepada ketentuan Allah SWT, Alhamdulillah saya beransur pulih.
“Sekarang saya perlu lebih banyak berehat, kurangkan kerja dan tidak boleh bertemu ramai orang,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu.
Dalam pada itu, menurut Mustapa, pelitup muka, pembersih tangan, penjarakan sosial dan pemakaian face shield perlu menjadi amalan semua sepanjang masa sehingga pandemik ini benar-benar pulih.
“Pengajaran: pandemik ini ketentuan Allah SWT supaya manusia insaf dan sedar betapa kerdilnya kita semua. Sepanjang pandemik Covid-19, kita perlu menjaga maslahah umum mengatasi kepentingan peribadi.
“Ancaman ini serius, perlu diambil berat oleh rakyat. Ketakutan kepada Covid-19 biar sebati dengan diri kita kerana kita masih belum memenangi peperangan ini.
“Berdiri teguh di belakang Kerajaan, Kementerian Kesihatan dan pihak penguatkuasa bagi mempertahankan nyawa serta kehidupan,” katanya.
Tambah Mustapa, beliau berterima kasih tidak terhingga kepada semua staf Kementerian Kesihatan khususnya di HRPZ II, ahli keluarga, sahabat handai dari seluruh pelusuk tanah air yang beri kata kata-kata semangat, ucapan dan doa.
“Semoga Allah SWT menyelamatkan negara kami, pemimpin-pemimpin kami dan semua rakyat daripada Covid-19,” ujarnya.

