KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,346 kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini yang juga hari ketiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
Menurut laman media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini juga menyaksikan 11 lagi kematian akibat virus itu dilaporkan.
Kes sembuh yang dilaporkan hari ini bagaimanapun mengatasi penularan baharu apabila 4,427 kes sembuh direkodkan.
Selangor terus merekodkan penularan baharu tertinggi dengan 950 kes pada hari ini yang juga hari ke-12 pelaksanaan PKP.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ini diikuti Sabah dengan 431 kes; Kuala Lumpur (390 kes); Johor (378 kes); Sarawak (255 kes); Terengganu (179 kes); Negeri Sembilan (160 kes); dan Melaka (152 kes).
Dr Noor Hisham berkata sebanyak 11 lagi kematian dilaporkan hari ini melibatkan 10 warga tempatan dan seorang rakyat asing.
Sementara itu, terdapat 265 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 102 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Mengenai sembilan kluster baharu itu, Dr Noor Hisham berkata hanya satu daripadanya melibatkan kluster pusat tahanan iaitu Kluster Tembok Taiping di Perak yang mencatatkan 42 kes positif manakala selebihnya membabitkan kluster di tempat kerja.

Beliau berkata kluster di tempat kerja melibatkan masing-masing dua di Sabah dan Johor; dan masing-masing satu di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Di Sabah, Kluster Ladang Segama dengan 22 kes positif dan Kluster Jalan Segama (20 kes); di Johor, Kluster Jalan Tengar (lapan kes) dan Kluster Keluli Tujuh (21 kes) manakala Kluster Jalan Sebelah di Selangor (83 kes).
“Kluster Bukit Emas di Negeri Sembilan dengan 46 kes positif, Kluster Tapak Bina Sri Petaling di Kuala Lumpur (44 kes) dan Kluster Tapak Bina Flora di Putrajaya (13 kes),” katanya.