sekatan jalan
Sekatan Jalan Raya (SJR) di pelbagai lokasi susulan pelaksanaan PKP / Gambar Hiasan ABD RAZAK AID

KUALA LUMPUR – Jika ada yang curi-curi mahu merentas daerah dan negeri tanpa sebab, awas semalam sahaja 54 individu diambil tindakan kerana ingkar peraturan berkenaan.

Bagi negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pergerakan yang dibenarkan adalah dalam radius 10 kilometer dari kediaman kecuali atas urusan kerja sektor perkhidmatan perlu atau sebab lain yang diberi pengecualian.

Daripada kenyataan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, 54 individu yang diambil tindakan berkaitan kesalahan larangan rentas daerah dan negeri itu adalah sebahagian daripada 550 kesalahan ingkar SOP PKP yang dilaporkan semalam.

“Terdapat 550 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 499 individu dikompaun, 42 direman manakala sembilan lagi dijamin.

“Kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (130), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (112), tiada penjarakkan fizikal (68), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (54), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (44) dan lain-lain (142),” katanya.

Tambah Ismail Sabri, keseluruhannya Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 57,350 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.

“Seramai 2,569 Pasukan Pematuhan melibatkan 11,657 anggota telah membuat pemantauan di 3,731 pasar raya, 5,432 restoran, 2,135 penjaja, 1,347 kilang, 3,226 bank dan 552 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, sebanyak 970 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (219) dan terminal pengangkutan udara (75),” ujarnya.

Dalam kenyataan itu juga, Ismail Sabri berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Bentong dan Kuarters Kakitangan dilaksanakan bermula esok sehingga 8 Februari 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti.

“SOP PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” ujarnya.