Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Datuk Seri Fadillah Yusof pada mesyuarat MKN Oktober lalu./ Gambar hiasan dari FB MKN

KUALA LUMPUR – Menutup hampir semua sektor ekonomi adalah yang terbaik bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana langkah itu terbukti berjaya melandaikan kes jangkitan COVID-19 sehingga sifar.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, namun kerajaan belajar daripada pengalaman keadaan itu yang menyukarkan banyak pihak.

Katanya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, negara kehilangan pendapatan RM2.4 bilion sehari dan ada anggota masyarakat hilang punca kewangan.

“Kita nampak perlu ada perimbangan sektor ekonomi dan kesihatan. Betul, kita tidak mahu kes terus meningkat tetapi kita juga tidak mahu mereka hadapi saat cukup sukar apabila terputus sumber pendapatan,” katanya seperti dipetik daripada wawancara Harian Metro yang disiarkan hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan mengenai PKP 2.0 ini yang dilihat tidak seketat dahulu.

Sementara itu, menurut Ismail Sabri, waktu PKP pertama dulu, semua pihak tidak ada pengalaman dan kerajaan tidak boleh mengikut negara lain kerana mereka juga tidak berpengalaman.

“Jadi kita ambil keputusan untuk tutup hampir keseluruhan sektor ekonomi apabila angka sudah mencecah lebih 300 mangsa,” jelasnya.

Dalam temu bual bersama Bernama.com pula, Ismail Sabri berkata, secara umumnya rakyat sudah ada kesedaran mengenai kepatuhan SOP tetapi yang menjadi isu ialah soal penjarakan fizikal.

“Setakat ini, pemakaian pelitup muka nampak jelas dan kita lihat rakyat mula menukar cara hidup dengan lebih berdisiplin, contohnya seperti tunduk hormat bagi elakkan berjabat tangan atau perkara yang mengelakkan sentuhan.

“Yang menjadi isunya ialah penjarakan fizikal, kerana mereka yakin (anggap) jika pakai ‘mask’ dan berdekatan antara satu sama lain adalah tidak berisiko,” katanya.

Kata Ismail Sabri, dalam hal ini beliau dan kerajaan hanya boleh terus mengingatkan rakyat namun setiap hari ada puluhan orang diambil tindakan tidak mematuhi SOP.

“Pertamanya, kita hanya boleh ingatkan rakyat. Walaupun diingatkan oleh saya dan DG (Dr Noor Hisham) mengenai pematuhan SOP, setiap hari akan ada puluhan orang yang dikenakan tindakan akibat gagal patuh SOP.

“Keduanya, adalah tindakan undang-undang yang mana ia ada hukumannya tersendiri dan ketiga ialah kesedaran diri. Anggota polis ada juga berlembut dan ada budi bicara, namun kadang-kadang tiada pilihan menyebabkan rakyat dikenakan hukuman,” ujarnya.