Minum lagi di kedai waktu PKP, RM500 melayang

0
146
SOP PKP masih tidak membenarkan minum dan makan di kedai./ Gambar hiasan media sosial

PETALING JAYA – Akibat minum di kedai, menjalankan perniagaan melebihi had masa dan bekerja di premis bukan dalam perkhidmatan perlu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, enam individu termasuk tiga wanita masing-masing didenda antara RM500 dan RM650 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret M. Barath menjatuhkan hukuman itu ke atas tiga warganegara Bangladesh, Rasouli Madani Mazieh, 39, Shiv Kumar Vats, 42, dan S M Nurul Islam, 56, serta tiga wanita tempatan, V. Krishnamah, 50, G. Letchumi, 51, dan V. Yogeswari, 30, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi.

Memetik laporan Bernama.com, mahkamah turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara sehari, sekiranya gagal membayar denda itu.

Rasouli Madani dan Shiv Kumar didakwa bersama-sama gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan bagi mencegah dan mengawal apa-apa penyakit iaitu dengan duduk minum di sebuah kedai makan.

Perbuatan mereka itu merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 di Flat Pelangi Damansara, dekat sini, pada 2.30 petang, 16 Jan lepas.

S M Nurul pula didakwa telah gagal mematuhi arahan sama dengan menjalankan perniagaan kedai runcit melebihi tempoh had yang dibenarkan iaitu bermula 6 pagi hingga 8 malam yang merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 15 peraturan sama di sebuah kedai runcit di Damansara Damai, pada 8.50 malam, 13 Jan lepas.

Bagi Krishnamah, Letchumi dan Yogeswari, mereka didakwa bersama-sama telah gagal mematuhi arahan sama dengan bekerja di kedai nombor ekor di mana perniagaan tersebut tidak tersenarai dalam perkhidmatan perlu yang merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 4(1) peraturan sama di sebuah kedai nombor ekor di Taman Universiti, di sini pada 5 petang, 17 Jan lepas.

Kesemua mereka dituduh mengikut Peraturan 16(1) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zafirah Syed Mustapa memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap semua tertuduh.

Rasouli Madani dan Shiv Kumar yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan manakala empat lagi yang diwakili peguam S. Kailash memohon denda minimum.