
KELMARIN sahaja, terdapat empat orang penjawat awam didakwa kesalahan rasuah di seluruh negara.
Daripada agensi penguat kuasa, agensi penyelamat, pihak berkuasa tempatan (PBT) hinggalah di pejabat pentadbiran negeri.
Pangkat pula, ada belaka. Dari yang biasa-biasa sehinggalah yang berstatus ketua jabatan dan bergelar Datuk.
Pertama libatkan Pengarah di Majlis Perbandaran Kajang. Kedua, pegawai bomba di Seremban. Ketiga ketua pembantu tadbir pejabat SUK Pahang dan keempat koperal polis marin di Perak yang berdepan 144 pertuduhan.
Memang minggu yang penuh kesibukan buat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pasukan pendakwaan.
Baca artikel berkaitan: Pengarah di MPKj didakwa guna jawatan dapatkan suapan bagi adiknya
Koperal polis berdepan 101 lagi pertuduhan selepas 43 semalam
Sehari sebelum itu juga beberapa pertuduhan rasuah termasuk melibatkan Ops Selat yang menggemparkan berkenaan rasuah di lapangan terbang.
Dan semalam, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi 2020 diumumkan. Ramai yang bersuara apabila kedudukan negara merosot dari tangga 51 pada 2019 kepada 57 tahun lalu.
Banyak sebab termasuk kerana negara lain melakukan lebih baik. Namun secara umumnya skor Malaysia kurang lebih sedikit sahaja berubah.

Berbanding beberapa tahun lalu, ranking terbaru ini tetap lebih baik.
Tapi ini tidak bermakna yang usaha memerangi rasuah harus berjalan seperti rutin sahaja, sebaliknya perlu terus dilipat gandakan.
Usaha ini juga tidak boleh hanya diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bertindak ke atas perasuah seperti pengkhianatan segelintir penjawat awam hanyalah sebahagian. Bagaimana dengan pemberi? Bagaimana sikap rakyat kepada rasuah?
Tegarkah rakyat menolak rasuah dan yang beragama Islam menolak rasuah seperti mana jijiknya kita pada babi?
Sedangkan kerana rasuah, yang haram – selama ini dielakkan mati-matian mungkin dah masuk ke rongga seperti dalam siasatan penyeludupan daging import.
Begitu juga kerajaan. Cukupkah menyediakan kerangka perundangan dan persekitaran yang menjurus bebas rasuah sama ada dalam sektor awam mahu pun swasta.
Perundangan dana politik, pembaharuan institusi, penambahbaikan kebebasan SPRM dan lain-lain lagi.
Setiap kali CPI dikeluarkan Transparency International (TI) Malaysia, jangan pula pandai menuding pada SPRM.
CPI 2020 juga memberikan maklum balas positif berkaitan Pelan Antirasuah Nasional (NACP), penguatkuasaan Seksyen 17A Akta SPRM serta siasatan kes berprofil tinggi yang sedang berjalan.
Baca artikel berkaitan: SPRM teliti cadangan tingkat indeks persepsi rasuah
SPRM sebahagian dan suruhanjaya itu komited meneliti cadangan TI-M bagi memperbaiki persepsi rasuah terhadap hal yang berada di bawah suruhanjaya itu.
Namun lebih penting semua rakyat perlu berperanan. Tolak rasuah, negara selamat.