Jelmaan Tenaga Dalaman
Kejadian-kejadian seumpama ini sebenarnya menjadi salah satu subjek kajian popular para pengkaji paranormal barat. Ini kerana ia turut dilaporkan berlaku di seluruh dunia.
Antara yang popular adalah kisah ini : Pada 7 Disember 1918, Leftenan James Larkin yang sedang menulis sepucuk surat di dalam bilik bereknya di Scapmton, Lincolnshire, England, tiba-tiba terdengar bunyi derapan tapak kasut. Rupa-rupanya yang datang itu adalah sahabat baiknya, Leftenan David McConnel.
“Cepat kau balik?” tanya Larkin, kerana setahunya, McConnel sepatutnya waktu itu sedang bertugas di Tadcaster, Yorkshire. Pesawat yang diterbangkan McConnel baru sahaja meninggalkan Scampton, sepatutnya dia masih berada di sana.
“Semuanya berjalan lancar,” jawab McConnel, yang kemudian mengucapkan selamat tinggal dan berjalan keluar.
Benarkah itu McConnel?
Tidak lama kemudian Larkin mendapat berita bahawa McConnel maut selepas pesawatnya terhempas satu kilometer sebelum sampai ke Tadcaster. Kemalangan itu berlaku sekitar pukul 3.25 petang, waktu yang sama jelmaannya muncul menemui Larkin.
Untuk pengetahuan anda, dalam kajian paranormal, kejadian-kejadian seperti ini dinamakan, Crisis Appiration. Dalam kata mudahnya, jelmaan seseorang yang muncul di tempat lain ketika dia sedang bertarung dengan maut.

Menurut sebahagian pengkaji paranormal barat, Crisis Appiration adalah jelmaan fizikal tenaga dalaman, khususnya tenaga emosi, yang dikeluarkan oleh seseorang yang ketika itu berada dalam situasi trauma.
Dalam keadaan genting, orang itu akan mengingati, dan ingin bertemu buat kali terakhir dengan seseorang yang sangat dikasihinya. Tenaga emosi inilah yang kemudiannya terjelma secara fizikal di hadapan orang yang dikasihi tadi, untuk memberitahu bahawa dia akan meninggalkan dunia ini.
Kisah Faridah Shaari di Perlis, boleh kita anggap sebagai Crisis Appiration. Tetapi bagaimana pula dengan mimpi Habibah dan mimpi gadis mangsa bunuh di Alor Setar? Bolehkah tenaga emosi menembusi alam tidur, lalu muncul di dalam mimpi? Kalau sekadar mainan tidur, mengapa ia begitu tepat?
Seperkara lagi, dalam mimpi Habibah, seorang lelaki itu berkata, `Pedulikanlah, dia bukan orang kita.”
Persoalannya, siapa lelaki yang berkata-kata itu? Jin? Syaitan? Bunian?
Sebenarnya fenomena misteri ini terlalu luas. Seperti kata seorang pengkaji paranormal terkenal, John Spencer, “Kita akui memang banyak fenomena yang benar-benar misteri di sekeliling kita. Buat masa ini kita masih belum mampu memberi jawapannya… cuma pertanyaan saja.”

