KUALA LUMPUR – Ketika ini bukan hanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bahkan seluruh negara di bawah perisytiharan darurat.
Namun aktiviti berkait pusat hiburan yang masih dalam senarai terlarang bagi membendung penularan COVID-19 terus dilaporkan dari semasa ke semasa.
Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob, semalam sahaja sebanyak 106 ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP akibat terlibat dengan pusat hiburan.

Selain itu, jumlah tangkapan atas kesalahan merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran meningkat kepada 117 kes, semalam berbanding hanya 70 kes yang direkodkan, kelmarin.
Kata Ismail Sabri, secara keseluruhan, seramai 680 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP di seluruh negara, semalam.
“Daripada jumlah itu, seramai 610 individu dikompuan, 59 individu direman manakala 11 lagi dijamin.
“Kegagalan mematuhi arahan penjarakan fizikal masih mendominasi kesalahan dengan 146 tangkapan, diikuti rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (117), aktiviti pusat hiburan (106) dan tidak memakai pelitup muka (86).
“Kesalahan lain adalah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (64), keluar rumah tanpa alasan munasabah (36), membawa penumpang berlebihan (25), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (23) dan lain-lain kesalahan (77),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: PKP sudah, darurat sudah, tapi masih ada pusat hiburan dibuka
Menurutnya, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 68,385 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mengenai Operasi Benteng (Op Benteng) yang dilaksanakan di seluruh negara, semalam, Ismail Sabri berkata seramai 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan 10 kenderaan berat dirampas.

