Sebanyak 2,936 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini dengan 17 daripadanya kes import.
Lebih separuh daripada jumlah itu pula dilaporkan di Selangor dan Johor yang masing-masing mencatatkan 978 dan 730 kes.
Ini diikuti Kuala Lumpur dengan 227 kes, Sarawak (199 kes), Negeri Sembilan (191 kes) dan Pulau Pinang, 188 kes.
Perlis menjadi satu-satunya negeri yang mencatatkan sifar kes baharu COVID-19 hari ini.
Menurut media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 13 lagi kematian dilaporkan hari ini.
Kes sembuh yang dilaporkan hari ini pula berjumlah 4,889 kes yang terus mengatasi jumlah penularan baharu.
Perkembangan ini membantu kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 yang suatu masa mencecah lebih 50,000 kini turun kepada 36,797.
Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hampir separuh daripada kes baharu hari ini melibatkan warga asing.
Katanya, daripada 2,919 kes tempatan, 1,572 atau 53.9 peratus adalah warganegara.

“Sehingga kini seramai 220 kes masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 104 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 13 kes kematian hari ini, membabitkan 12 warganegara dan seorang warga asing berusia antara 53 hingga 84 tahun.
Katanya, kes kematian itu membabitkan enam di Kuala Lumpur, tiga di Selangor, dua di Sarawak dan masing-masing satu di Melaka serta Johor.
Pertambahan kes kematian itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian disebabkan COVID-19 sebanyak 1,043 kes atau 0.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Mengenai kluster baharu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 13 kluster yang dikenal pasti hari ini iaitu 10 berpunca dari tempat kerja, dua dalam kalangan komuniti dan satu membabitkan kumpulan berisiko tinggi.
Baca artikel berkaitan:COVID-19: 25 kes kematian tertinggi pernah direkodkan
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.

