Dari Singapura, vaksin COVID-19 dibawa ke Johor Bahru merentas sempadan dua negara menggunakan jalan darat.
Konvoi yang membawa dos vaksin keluaran Pfizer BioNTech itu selamat menyeberangi Tambak Johor jam 2 petang tadi.
Ketibaan vaksin yang merupakan sinar harapan buat rakyat Malaysia dalam peperangan melawan COVID-19 itu disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bersama Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad.
Menurut hantaran di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Adham dan Hasni terus ke laluan bas BSI dan bergerak ke Tambak Johor bagi menyambut ketibaan vaksin itu yang dibawa dengan kenderaaan DHL dari Singapura.

“Bagi negeri Johor, sejumlah 73,710 dos telah dihantar ke empat Pusat Simpaan Vaksinasi (PSV). Daripada situ, vaksin ini akan diedarkan ke seluruh 54 Pusat Pemberian Vaksian (PPV) yang ada di seluruh negeri Johor.
“Petugas barisan hadapan di negeri Johor adalah golongan pertama yang akan menerima vaksin ini secara berperingkat-peringkat mulai minggu ini,” kata KKM.
Baca artikel berkaitan: Vaksin COVID-19 tiba di KLIA, sinar harapan yang amat dinanti
Program Imuninasi COVID-19 dipercepatkan Rabu ini, Muhyiddin penerima pertama
Vaksin yang dibawa menggunakan trak DHL ini adalah kumpulan pertama vaksin yang sama tiba di KLIA pagi tadi daripada kilang Pfizer-BioNTech di Puurs, Belgium.
“Semoga dengan kehadiran vaksin ini dapat memberi harapan baru buat semua rakyat Malaysia dalam peperangan kita melawan COVID-19 ini,” ujar kenyataan itu.
Pagi tadi, penghantaran pertama vaksin COVID-19 oleh Pfizer BioNTech selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Bagaimanapun, untuk penghantaran pusat penyimpanan di Johor dilakukan melalui jalan darat setelah vaksin itu tiba di Singapura dari Belgium pagi tadi.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah merupakan penerima pertama vaksin COVID-19 yang akan mendapatkan suntikan mereka di Putrajaya, Rabu ini selepas mesyuarat jemaat menteri.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang pada asalnya akan dilancarkan Jumaat ini dipercepatkan kepada Rabu selepas kedua-dua tokoh tersebut menjadi penerima terawal suntikan vaksin tersebut.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.

