Janna Nick bersedia saman pesalah laku jenayah siber – “Kesalahan mereka adalah jenayah serius”

0
44

PELAYAR laman sosial yang melemparkan tuduhan fitnah terhadap pelakon Janna Nick berkenaan isu mempersenda selebriti Korea, Lisa Blackpink dan mendiang Kim Jong-hyun, bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

Menurut Janna atau nama penuhnya Nurul Jannah Muner, dia kini berdepan dengan ugutan jenayah dan serangan peribadi termasuk membabitkan ahli keluarga dan syarikat produksi miliknya, Janna Nick Studios.

“Masih terdapat individu-individu yang membuat kenyataan fitnah terhadap saya apabila mengatakan saya mempersendakan mendiang Kim Jong-hyun serta Lisa Manoban. Saya juga berdepan dengan ugutan jenayah dan serangan peribadi terhadap Janna Nick Studios.

“Saya sama sekali tidak mempersendakan mana-mana individu apatah lagi mendiang Kim Jong-hyun menerusi video yang direkodkan dan dimuatnaik oleh Sharifah Sakinah pada tahun 2018 yang kini telah dimuatnaik dan disensasikan semula di media sosial ataupun menyamakan Lisa Manoban dengan ‘Lisa Blackpig’ sebagaimana yang ditohmah,” katanya.

Menurut pengacara Melodi itu lagi, dia kesal apabila ada individu yang mengeluarkan kata-kata fitnah itu memilih untuk menerima tafsiran video atau sebarang penulisan yang dirujuk dalam perkara ini hanya dari sudut pandangan mata sendiri meskipun perkara yang berlaku adalah berlainan sama sekali.

ARTIKEL BERKAITAN : Didakwa hina artis K-Pop, Janna Nick buat laporan polis ‘diserang’ netizen

“Ini adalah amat dikesali apatah lagi Sharifah Sakinah juga telah menjelaskan perkara ini dan memohon maaf pada 2018 dan saya juga telah memberikan penjelasan di pihak saya.

“Walaupun hakikat perkara sebenar sama sekali tidak sebagaimana yang mereka tafsirkan, tetapi demi untuk tidak memanjangkan isu ini daripada berlarutan, saya juga telah membuat pernyataan maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan perkara tersebut.

“Berkenaan tohmahan yang kononnya saya menyamakan atau menggelar Lisa Manoban sebagai ‘Lisa Blackpig’, ianya adalah terpesong sama sekali. Sebagai seorang individu yang juga meminati budaya Korea yang bukan setakat industri hiburan mereka bahkan budaya, fesyen, makanan, teknologi, kecantikan dan tempat-tempat di Korea, tohmahan sebegitu adalah sangat tidak berasas.

“Saya sendiri pernah berkolaborasi dengan pihak pengurusan serta artis Korea dalam kerjaya dan amat menghormati mereka. Ianya adalah amat pelik dan tidak boleh diterima akal untuk saya menggelar atau menyamakan nama besar dalam industri seperti Lisa Manoban Blackpink dengan sebarang nama yang mengaibkan.

“Namun begitu, saya telah dilemparkan dengan pelbagai tuduhan, ugutan jenayah dan serangan peribadi daripada pesalahlaku-pesalahlaku secara terang-terangan mahupun secara personal di mana mereka turut menyebarkan hashtag dan kata-kata kesat yang mengaibkan, menjatuhkan serta merosakkan nama baik saya serta Janna Nick Studios bukan setakat dalam negara bahkan di luar negara,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Janna sudah membuat laporan polis dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) turut terlibat dalam mengenalpasti individu-individu pesalah laku meskipun mereka cuba berlindung di sebalik nama dan akaun samaran.

“Saya dimaklumkan, dengan kemajuan teknologi yang digunakan dan maklumat daripada sistem data internet yang dikesan alat peranti yang digunakan sama ada telefon pintar, komputer atau sebagainya, individu-individu pesalah laku ini berjaya dikesan untuk tindakan lanjut akibat daripada tindakan jenayah, salah laku dan pelanggaran undang-undang yang mereka lakukan.

“Saya juga dimaklumkan bahawa terdapat juga kanak-kanak dan remaja di kalangan individu pesalah laku ini di mana alat peranti dan sistem data internet yang digunakan oleh mereka adalah direkodkan di bawah nama ibu bapa atau penjaga.

“Pasukan penyiasat dan peguam saya sedang dalam proses menyimpan segala rekod yang diterbitkan di Twitter, Instagram, Facebook dan semua media sosial yang memfitnah, membuat ugut jenayah serta menyebarkan tohmahan dan hashtag negatif.

“Tindakan undang-undang akan mengakibatkan mereka disaman dan dihadapkan ke mahkamah kerana salah laku mereka adalah suatu kesalahan jenayah yang serius atau telah mengakibatkan kerosakan termasuk menjejaskan reputasi serta nama baik saya dan juga Janna Nick Studios bukan sahaja di dalam Malaysia bahkan di luar negara,” katanya.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi