Residensi Prihatin berharga RM200,000 dilancar, buka permohonan mulai esok

0
117

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) merancang membina 40,000 unit rumah pangsapuri Residensi Prihatin berharga RM200,000 ke bawah di Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam tempoh lima tahun, khusus untuk membolehkan golongan B40 memiliki rumah pertama.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, individu yang layak boleh membuat pendaftaran permohonan secara atas talian di portal Residensi Prihatin https://residensiprihatin.kwp.gov.my. bermula esok dan ia terbuka kepada mereka yang mempunyai pendapatan kasar tidak melebihi RM5,000 sebulan.

Beliau berkata, sebagai permulaan KWP dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) mahu membangunkan sebanyak 12,253 unit Residensi Prihatin berkeluasan 750 kaki persegi, melibatkan 10 tapak di Putrajaya di Presint 5, 7, 11, 16, dan 19.

Annuar berkata, projek berkenaan dalam peringkat perancangan dengan pembinaan dijangka siap sehingga 2025.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,592 unit “Kenanga” dan “Melur” akan dijual pada harga RM200,0000, lebih rendah daripada harga pasaran.

Katanya, kedua-dua Residensi Prihatin itu akan dibangunkan oleh Tetuan Protasco Development Sdn Bhd, yang menandatangani Perjanjian Pembangunan (D.A.) hari ini.

“Bagi memastikan kumpulan sasar yang tepat beroleh manfaat tersebut, permohonan Residensi Prihatin ini memberi penekanan kepada pemohon bagi rumah pertama dan masih belum memiliki rumah.

“Keutamaan turut diberikan kepada penjawat awam dan pembeli yang terdiri daripada kumpulan keluarga muda, terutama petugas barisan depan yang bertugas di Lembah Klang,” kata pada sidang media sempena pelancaran projek Residensi Prihatin di Putrajaya secara maya.

BERITA BERKAITAN Rumah dinanti-nantikan rakyat dilancar 22 Feb – tiga bilik berharga RM200,000

Program Residensi Prihatin salah satu program pembasmian kemiskinan dan peningkatan taraf hidup warga Wilayah Persekutuan, dalam usaha KWP mengukuhkan “society safety net” rakyat, sejajar dengan matlamat Inisiatif Wilayah Prihatin (IWP).

Mengulas lanjut, Annuar berkata penetapan syarat minimum 60 peratus daripada jumlah unit pembangunan ini akan diperuntukkan kepada kuota Bumiputera, bagi mengatasi masalah pemilikan rumah oleh kumpulan B40.

Beliau berkata, pembangunan Residensi Prihatin berkenaan meliputi kemudahan seperti surau, dewan serbaguna, tadika, taska, ruang niaga, gelanggang badminton, taman permainan kanak-kanak, dan tempat letak kereta berbumbung bagi memastikan persekitaran hidup yang lebih kondusif dan berkualiti.

“Individu yang lahir, menetap dan bekerja di Wilayah Persekutuan yang berminat untuk memiliki unit Residensi Prihatin ini, boleh membuat pendaftaran permohonan secara atas talian di portal Residensi Prihatin,” katanya.

“Permohonan terbuka kepada mereka yang mempunyai pendapatan kasar tidak melebihi RM5,000 sebulan dan keutamaan diberikan kepada pemohon belia yang telah berkahwin.

“Dokumen-dokumen yang diperlukan oleh urusetia akan dimaklumkan terus kepada pemohon melalui e-mel. Kementerian berharap pelaksanaan program bawah Cakna Perumahan ini dapat mengatasi isu kesukaran pemilikan rumah di Wilayah Persekutuan terutama sekali kepada golongan muda.

“Semoga projek ini dapat mejadikan Wilayah Persekutuan sebagai Wilayah yang Prihatin serta berdaya huni bagi semua lapisan masyarakat. Residensi Prihatin ternyata tepati keperluan semasa dan kehendak warga penduduk Wilayah Persekutuan,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram