KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mempertahankan ketepatan fakta dalam buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah Tingkatan 4 yang dibangkitkan pihak tertentu semalam.
Menurut KPM, buku teks itu telah mematuhi semua proses penerbitan bagi menjamin kualiti buku teks termasuk ketepatan fakta dengan diperakui panel tujuh pakar sejarah yang mempunyai pelbagai pengkhususan.
Kata KPM, buku itu juga melalui proses kawalan mutu yang ketat merangkumi pemetaan kandungan, penulisan manuskrip, penyediaan dan penyemakan pruf muka surat, naskhah sedia kamera, pemerakuan naskhah sedia kamera, naskhah contoh, apresiasi kulit buku teks dan kelulusan naskhah contoh bagi menyediakan naskhah edar.
“Proses ini melibatkan Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM, Jawatankuasa Peningkatan Mutu Buku Teks, Jawatankuasa Pembaca Luar dan Jawatankuasa Penilaian Teknikal 4 KPM.
“Bagi mewasitkan fakta tertentu, KPM mendapatkan pengesahan fakta sejarah dan kandungan daripada agensi kerajaan yang terlibat seperti Arkib Negara, Muzium Negara, Persatuan Sejarah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Setiausaha Kerajaan Negeri,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius unsur-unsur fakta yang dimanipulasikan dengan mengagung-agungkan pihak komunis sebagai pejuang kemerdekaan dalam silibus dan sukatan buku teks sejarah tingkatan 4 Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
Menurut Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, perkara ini semacam satu usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah bagi menanamkan benih ideologi ‘Malaysian Malaysia’ dan secara halus menyuci pemikiran pelajar bahawa fahaman sosialis dan komunis tidaklah buruk malah diangkat sebagai antara ideologi yang memperjuangkan kemerdekaan.
Baca artikel berkaitan: Pemuda UMNO desak tarik balik buku teks Sejarah tingkatan 4 agungkan komunis

Sementara itu, jelas KPM, penerbitan buku teks KSSM Sejarah Tingkatan 4 adalah berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSM Sejarah Tingkatan 4 serta mengikut Prosedur Operasi Standard Penerbitan Buku Teks KPM yang dikemas kini pada tahun 2018.
Kata kenyataan itu, pada 24 April 2018, DSKP KSSM Sejarah Tingkatan 4 telah diteliti, disemak dan diperakui sah oleh Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM.
“Mereka adalah pakar sejarah seramai tujuh orang daripada pelbagai pengkhususan dan kaum. Kandungan DSKP KSSM Sejarah Tingkatan 4 adalah berpandukan Laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah KPM (2011- 2012).
“Pemilihan penulis buku teks pula adalah berdasarkan Tatacara Penerbitan Pakej Buku Teks Dewan Bahasa dan Pustaka dan mengikut kriteria khusus iaitu mempunyai latar belakang pendidikan sejarah serta berpengalaman
menulis buku teks Sejarah,” jelas KPM.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.

