Pada Rabu lalu bermula Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaaan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di Malaysia menerimanya.
Semalam pula, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menjadi anggota Kabinet kedua menerima dos pertama vaksin Pfizer BioNTech itu.
Dan hari ini, tiba giliran Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob bersama pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima suntikan vaksin tersebut.
Mereka menerima suntikan pada kira-kira jam 9.30 pagi ini di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju di Kuala Lumpur.
Ismail Sabri yang tiba sekitar 9.09 pagi melalui lima stesen untuk menjalani proses vaksinasi berkenaan, termasuk melalui saringan gejala, suhu dan stesen pemerhatian selepas diberikan suntikan vaksin COVID-19.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu yang bertanggungjawab mengetuai hal-hal bukan kesihatan dalam pengurusan pandemik COVID-19 disuntik oleh vaksinator, Koperal Siti Maliah Sheikh Alwi.
“Alhamdulillah. Menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech. Suntikan vaksin ini adalah sempena Program Vaksinasi Peringkat Kementerian Pertahanan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.
“Sama-sama kita berusaha mengurangkan jangkitan COVID-19,” kata Ismail Sabri menerusi Facebook beliau.
Baca artikel berkaitan: Vaksinasi bersejarah bermula, Muhyiddin selesai disuntik dos pertama
Selepas PM, Dr Adham dan KSN pula disuntik vaksin COVID-19
Turut menerima suntikan pada hari ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad turut menerima suntikan vaksin terbabit hari ini.
Dalam fasa pertama Program Imunisasi Kebangsaan ini, eramai 500,000 petugas barisan hadapan kesihatan dan bukan kesihatan akan menerima vaksin COVID-19 menjelang April ini.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.

