PKP 2.0: Malaysia kurangkan kerugian kepada RM300 juta

Dari Penulis

Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah berjaya mengurangkan kerugian negara kepada hanya RM300 juta sehari berbanding RM2.4 bilion sehari yang ditanggung semasa PKP kali pertama tahun lalu.

Pengurangan kerugian itu dicapai menerusi pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi dalam PKP kali kedua ini, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, kebenaran membuka lebih banyak sektor ekonomi untuk beroperasi adalah untuk mengimbangi aspek kesihatan rakyat dan juga tekanan ekonomi semasa.

“Semasa PKP pertama dahulu, negara kita telah mengalami kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari dan jika ia dilaksanakan secara berterusan, pasti sistem ekonomi negara kita termasuklah sistem kesihatan awam akan lumpuh,” katanya ketika ucapan perasmian Hari Hasil ke-25 Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) secara maya seperti dipetik Bernama, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kawal COVID-19 bersasar, PKP lebih ketat di lokasi kluster – PM

Pada masa sama, Tengku Zafrul memberitahu, keberkesanan langkah kerajaan membendung penularan Covid-19 juga telah diiktiraf agensi penarafan kredit antarabangsa, Moody’s yang mengekalkan penarafan tahap A3 dengan unjuran stabil, Januari lalu.

Malaysia juga, kata Tengku Zafrul telah berjaya mengehadkan kes kematian akibat Covid-19 dengan nisbah 0.3 peratus atau dalam kategori lima peratus terbawah peringkat dunia.

Beliau berkata, kejayaan penarafan tersebut dipacu oleh asas ekonomi kukuh, disiplin fiskal yang baik termasuk sokongan kepelbagaian sektor ekonomi.

“Moody’s juga menjangka bahawa penularan Covid-19 tidak akan menyebabkan kesan yang berpanjangan terhadap struktur ekonomi negara.

“Oleh itu, gelombang penularan semasa dan yang seterusnya hanya akan menangguhkan tanpa menghalang pemulihan ekonomi negara ke arah landasan pertumbuhan lebih tinggi dan mampan,” katanya.

Bagaimanapun, Beliau berkata, ia amat bergantung kepada keupayaan negara mengekang pandemik dan juga melaksanakan pemulihan berterusan dalam permintaan luaran.

Tambah Tengku Zafrul, walaupun Malaysia mengalami penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.6 peratus pada 2020, angka berkenaan adalah lebih baik berbanding unjuran awal oleh organisasi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang meramalkan menguncup 5.8 peratus; Bank Dunia (-5.8 peratus) dan Bank Pembangunan Asia (-6.0 peratus).

Prestasi Malaysia juga katanya lebih baik jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Thailand (-6.1 peratus) dan Filipina (-9.5 peratus) serta negara lain seperti United Kingdom (-9.9 peratus).

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Amaran hujan lebat, banjir di Thailand: Rakyat Malaysia disaran berwaspada

RAKYAT Malaysia yang berada atau merancang untuk berkunjung ke Thailand dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada susulan amaran risiko hujan lebat...

More Articles Like This