BUAT hari kedua berturut-turut, jumlah kes baharu COVID-19 mencatkan angka di bawah 1,500.
Walaupun lebih tinggi berbanding semalam, namun penularan hari ini yang berjumlah 1,448 dilihat satu perkembangan yang baik ke arah melandaikan lekuk COVID-19.
Apatah lagi, angka 1,448 itu juga menandakan hari kelima berturut-turut kes baharu COVID-19 di bawah angka 2,000 sejak Sabtu lalu.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 561 kes diikuti Johor, (273 kes), Sarawak, (199 kes) dan Kuala Lumpur, 103 kes.
Jelas beliau, Putrajaya dan Labuan mencatatkan sifar kes baharu diikuti Pahang mencatatkan satu kes, Perlis (tujuh kes) dan Terengganu, lapan kes.
“Sebanyak lima kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan kes kumulatif kematian akibat COVID-19 kini berjumlah 1,191 kes.
“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan dua kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Johor, Melaka dan Sabah.
“Kesemua kes kematian melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, katanya, sebanyak 2,137 kes sembuh baharu dilaporkan menjadikan kes discaj kini berjumlah 298,156 setakat ini.
Ujar beliau, dengan perkembangan hari ini membolehkan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 turun kepada 18,010.
“Daripada jumlah itu, 151 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 72 memerlukan alat bantuan pernafasan,” jelasnya.
Baca artikel berkaitan: 1,280 kes baharu, terendah sejak darurat diisytihar
Sebanyak 10 kes import dilaporkan hari ini manakala daripada 1,438 penularan tempatan, 39 peratus adalah terdiri daripada warga asing.
Noor Hisham berkata, terdapat lima kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini.
Katanya, ia melibatkan dua kluster berkaitan tempat kerja, dua kluster komuniti dan satu kluster import.
“Dua daripada kluster baharu dilaporkan di Selangor dan Johor manakala satu lagi di Sarawak,” ujarnya.

Noor Hisham dalam kenyataan itu mengucapkan Selamat Menyambut Hari Pembantu Perubatan kepada semua Penolong Pegawai Perubatan di pelbagai sektor kesihatan di Malaysia.
Katanya, tarikh 10 Mac telah diisytiharkan sebagai Hari Pembantu Perubatan dan tahun ini merupakan tahun ke-10 sambutan ini diraikan di seluruh negara dengan tema “Bersama Pembantu Perubatan Memerangi COVID-19”.
“Sebagai salah satu profesion di barisan hadapan dalam perkhidmatan kesihatan negara ini, peranan Penolong Pegawai Perubatan adalah sangat penting bagi memastikan kesihatan rakyat terjaga dan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik daripada mereka.
“Semoga, kumpulan profesion ini dapat terus memainkan peranan yang penting serta bekerjasama sebagai sebuah pasukan bersama dengan profesion perubatan yang lain khususnya dalam membendung wabak COVID-19 di negara,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

