270 kes penyebar berita palsu disiasat, ordinan baru mudahkan polis menahan mereka – KPN

Dari Penulis

JIKA sebelum ini, anda mungkin suka menghantar berita-berita mengenai COVID-19 atau proklamasi darurat yang tidak diketahui kebenarannya, mulai hari ini anda perlu menghentikan aktiviti tidak berfaedah itu.

Dengan perbuatan itu anda boleh dipenjara atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan melakukan perbuatan tersebut di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang berkuat kuasa hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador penguatkuasaan ordinan itu akan memudahkan polis bertindak terhadap penyebar berita palsu dan membolehkan pasukan itu menahan pesalah tanpa perlu menunggu perintah untuk siasat (OTI) daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPPO).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula memberitahu sehingga hari seramai 270 orang sedang disiasat berkaitan menyebar berita palsu mengenai COVID-19.

Berdasarkan e-Federal Gazette yang dikeluarkan semalam, mana-mana individu yang menyebarkan berita tidak benar mengenai COVID-19 dan Proklamasi Darurat akan dikenakan denda hingga RM100,000 atau dipenjarakan.

Abdul Hamid berkata, sebelum ini polis perlu mendapatkan OTI daripada pejabat pendakwa raya yang kadangkala memakan masa selama seminggu sehingga menyukarkan penguatkuasaan dan tindakan segera dilakukan.

BERITA BERKAITAN Denda RM100,000 dan penjara berita palsu COVID-19, darurat

“Untuk mendapatkan OTI bukan lima minit, tetapi makan masa seminggu. Kini kita boleh ambil tindakan terus kepada pesalah, sekali gus menyekat penyebaran berita palsu yang boleh mencetuskan ketidaksenangan hati, kegusaran dan kegemparan umum,” katanya pada sidang media Majlis Pemakaian Sayap Juruterbang dan Penutupan Rasmi Kursus ‘Private Pilot’s Licence’ (PPL) di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata, polis sedar sebelum ini orang ramai seakan marah kepada pasukan itu sebab lambat ambil tindakan terhadap penyebar berita tidak benar dan ia berlaku kerana kekangan udang-undang di bawah akta sebelum ini yang mana kesalahan itu dikelaskan sebagai ‘non-feasible offence’ (NFO).

“Jadi saya mengalu-alukan keputusan kerajaan mewartakan ordinan itu yang menjadikan kesalahan berhubung berita tidak benar ini dijadikan suatu kesalahan yang lazim untuk pelakunya ditangkap,” katanya.

Abdul Hamid berkata, tindakan lebih drastik juga akan dibuat susulan pewartaan itu apabila anggota atau pegawai PDRM sendiri yang akan membuat laporan polis mengenai sesuatu berita tidak benar yang ditularkan berbanding sekadar menunggu laporan daripada orang awam seperti sebelum ini.

Menurut beliau, penangkapan pelaku kesalahan itu membolehkan keterangan pesalah diambil sebelum dibebaskan dengan ikat jamin bagi kes ringan, manakala bagi kes berat, pihaknya akan berusaha bagi meyakinkan mahkamah agar tempoh reman pesalah dipanjangkan sementara siasatan lengkap.

“Kita memang ada satu pasukan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dibantu satu unit khas yang diberi peranan memantau 24 jam mengenai sebarang berita berunsur menghasut, fitnah dan mencetuskan kegemparan khususnya di media sosial.

“Selepas ini, kita tidak perlu lagi menunggu orang awam buat laporan, (sebaliknya) jika kita nilaikan ia sebagai kesalahan, kita sendiri yang akan buat laporan bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Harga diesel turun 30 sen seliter minggu ini

HARGA diesel di Semenanjung diturunkan 30 sen seliter bagi tempoh 18 Jun hingga 24 Jun ini. Kementerian Kewangan dalam kenyataan...

More Articles Like This