BUAT hari kedua berturut-turut, kes harian COVID-19 kembali mencatatkan angka di bawah 1,500 kes.
Malah, kali terakhir kes harian COVID-19 melepasi angka 2,000 adalah pada 6 Mac lalu dengan 2,164 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 1,354 kes baharu dilaporkan hari ini.

Menurut beliau, Selangor terus melaporkan kes tertinggi dengan 577 kes diikuti Pulau Pinang, 154 kes dan Johor, 121 kes.
Katanya, Perlis menjadi satu-satunya negeri atau wilayah yang mencatatkan sifar kes hari ini manakala Labuan (1 kes), Putrajaya (2 kes), Melaka (4 kes) dan Pahang (5 kes).
“Hari ini juga menyaksikan empat lagi kematian dilaporkan dengan kesemuanya adalah rakyat Malaysia.
“Ini menjadikan keseluruhan kes kematian berjumlah 1,210 kes,” katanya dalam kenyataan di media sosial beliau hari ini.
Tambah Noor Hisham, sebanyak 1,782 kes sembuh dilaporkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.
Baca artikel berkaitan: 1,470 kes baharu, 8 hari berturut-turut di bawah 2,000
Suntikan dos pertama vaksin menghampiri 300,000 penerima
Katanya, perkembangan terbaharu ini menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 terus turun kepada 16,279 kes.
“Daripada jumlah itu, 158 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 71 memerlukan alat bantuan pernafasan,” ujarnya.

KKM juga ingin memaklumkan terdapat tiga kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini.
Kata Noor Hisham, ia melibatkan dua kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti.
Dua kluster tempat kerja dilaporkan di Johor dan Selangor manakala satu kluster adalah di Sarawak.
“Sebanyak 64 klustermelaporkan pertambahan kes baharu pada hari ini.
“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tembok Tapah (57 kes), Kluster Jalan Kebun Nenas (30 kes), dan Kluster Rawang Bestari (28 kes),” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

