PERHIMPUNAN Agung UMNO 2020 (PAU 2020) akan diadakan pada 27 dan 28 Mac ini, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurut beliau, PAU 2020 mencatatkan sejarah tersendiri kerana pertama kalinya akan diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya.
“Perhimpunan bersemuka diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan secara maya di 190 bahagian UMNO,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Menurut Ahmad, Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO akan dirasmikan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka pada 27 Mac.
Pada 28 Mac, upacara menaikkan bendera akan diadakan di Plaza Merdeka dengan dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Majilis Tertinggi serta Exco Wanita, Pemuda dan Puteri.
“Selepas itu, upacara Perasmian PAU 2020 akan diadakan pada pukul 8.30 pagi di Dewan Merdeka dengan acara kemuncak Ucapan Dasar oleh Presiden UMNO.
“Selepas itu, ketua-ketua sayap akan menyampaikan ucapan dasar di dewan ditetapkan,” katanya.
BERITA BERKAITAN Ahmad Zahid perlu buktikan masih mampu memimpin UMNO
Beliau berkata, perbahasan sayap adalah berdasarkan ucapan dasar presiden yang antara lain menyentuh politik, agama, sosial, agama, antarabangsa dan isu semasa.
Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Wilayah Persekutuan meluluskan perhimpunan berkenaan 19 Mac lalu.
“Tiada gerai jualan dan kenderaan saji dibenarkan beroperasi pada PAU 2020 ini.
“Umno akan mematuhi segala SOP ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal,” katanya.
Dalam pada itu, petugas media diberikan taklimat berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) liputan PAU 2020.
Untuk kali ini, tiada petugas media dibenarkan membuat liputan di dalam dewan seperti kebiasaannya.
Sebelum ini, Ahmad mengumumkan penangguhan perhimpunan itu yang dijadualkan berlangsung pada 30 dan 31 Januari, selaras dengan proklamasi darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

