POLITIK sate?
Untuk membuat hidangan tradisi Malaysia itu terdapat beberapa proses penting antaranya ‘cucuk mencucuk’.
Kemudian, ketika membakar sate salah satu peralatan penting adalah kipas – untuk mengipas ke arah arang agar bara atau api yang diperlukan terus menyala.
Justeru, dalam kalangan pemerhati, bahaya ‘politik sate’ bukan asing iaitu merujuk kepada perbuatan buruk mencucuk dan mengipas pemimpin.
Hinggakan yang tenang menjadi bergelora, yang bermuafakat menjadi musuh hanya kerana tindakan orang keliling yang mengadu domba dengan mencucuk dan mengipas.
Sehubungan itu, tegas Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim, ‘politik sate’ tidak boleh dibiarkan meracuni perjuangan di dalam parti.

Beliau juga pada masa sama menyeru pimpinan dan ahli UMNO mengelakkan politik ‘sate’ kerana kipas-mengipas dan politik menikam sesama sendiri tidak akan ke mana.
Malah, katanya, parti serta akar umbi yang sayangkan parti akan menjadi kepada mangsa keadaan tersebut.
“Marilah kita sama-sama mendayung kapal yang sedang belayar ini sampai menuju ke destinasi kejayaan yang gemilang.
“Janganlah kita mudah terperangkap dengan mainan-mainan politik ‘politik sate’ kerana natijahnya tidak akan ke mana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, jauhilah dan elakkan fitnah, iri hati, hasad dengki dan cemburu buta sesama sendiri apatah lagi masing-masing menimbulkan syak dan wasangka antara satu dengan yang lain.
Kata Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, ia bukan sahaja akan memudaratkan perpaduan sesama sendiri malah boleh menjadi barah dan nanah kepada institusi parti UMNO yang disayangi ini.
“Membina perpaduan dan meletakkan permuafakatan sesama sendiri sesungguhnya satu perkara yang bukan mudah namun apabila salah percaturan dan istiqamah perjuangan ianya boleh menghancur masa depan parti.
“Kepada Wanita UMNO seluruh negara, inilah masa dan inilah platform untuk sama-sama menggengam erat tali persaudaraan ukhwah dan tali permuafakatan. Di depan kita banyak cabaran yang bakal mendatang.
“Sekali lagi saya ingin memberi penekanan jauhilah syak wasangka, jauhilah budaya adu domba, iri hati, hasad dengki, cemburu buta antara satu sama lain kerana umumnya terdapat pihak-pihak lain di luar sana yang inigin melihat kita berpecah dan kapal yang sedang berlayar terhenti dan karam di tengah lautan,” jelasnya.
Baca artikel berkaitan: Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada Sabtu dan Ahad ini
Kata Norshida lagi yang juga Pegawai Tugas-Tugas 2 Kepada Menteri Kesihatan, Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini bukan sahaja satu pengalaman baru kepada seluruh ahli parti malah satu perkara yang cukup penting untuk masa depan parti yang merangkumi sokongan pendokong, penyokong serta seluruh pimpinan pelbagai peringkat akar umbi.
Ujar beliau, ia merupakan perhimpunan bersejarah yang akan berlangsung untuk melihat serta memperkemaskan formula terbaik untuk parti melangkah dengan lebih perkasa ke depan.
“Tentunya norma baharu yang diaplikasikan pada perhimpunan kali ini bukanlah satu halangan kepada pimpinan untuk sama-sama membangkitkan semangat yang tinggi dan jitu di kalangan pejuang-pejuang parti, malah satu platform terbaik dalam merungkai segala formula dan keluh kesah akar umbi untuk mendepani cabaran dan gelombang yang tentunya akan berada di masa hadapan.
“Paling penting dan paksi kepada perjuangan hari ini adalah perpaduan melayu. Ianya sekali lagi ditekankan kuncinya agar parti melayu keramat ini terus bersemangat waja, kekal utuh dalam muafakat yang dibina secara berhemah sejak sekian lama,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

