DR ASYRAF WAJDI DUSUKI

KEPUTUSAN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menanguhkan pelaksanaan had minimum mengundi 18 tahun dan pendaftaran secara automatik sehingga 1 September 2022 disifatkan seolah-olah tidak menghormati Parlimen.

Sambil menyifatkan kenyataan SPR sebagai mengejutkan dan mengecewakan, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia kerana Parlimen sebagai badan legislatif tertinggi negara telah bersepakat melebihi dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 pada Julai 2019.

Asyraf Wajdi malah berkata, kemajuan pantas teknologi komunikasi dan informasi merentas sempadan telah membawa kepada realiti baharu politik semasa dengan anak-anak muda kini mula cakna kekuatan pengaruh serta berani bersuara menyatakan pendapat.

“Hakikatnya pindaan Perlembagaan ini adalah komitmen politik yang bersejarah merentasi parti dan bakal memberdayakan lebih 7.8 juta pengundi baharu ke dalam sistem pilihan raya sekali gus menentukan kepemimpinan dan hala tuju masa depan negara.

“Sebab itulah keputusan menangguh undi 18 oleh SPR dan kerajaan boleh dianggap sebagai suatu tindakan yang menafikan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan untuk anak muda,” katanya dalam hantaran menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

Baca artikel berkaitan: Anak muda perlu diberi ruang penyertaan demokratik

Orang muda marah kerajaan punca tidak dilaksana – Najib

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh dalam kenyataan memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19 secara tidak langsung menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi mendesak kerajaan supaya mengotakan janji bagi memenuhi komitmen garis masa pelaksanaan undi 18 menjelang Julai tahun ini.

Bagi tujuan merealisasikan hasrat itu, kata Asyraf Wajdi, kerajaan harus menyediakan segala kemudahan yang diperlukan termasuk sumber-sumber mencukupi dari segi kewangan, korrdinasi merentas agensi dan menambah tenaga kerja.

“Amat tidak wajar untuk berselindung di sebalik alasan Covid-19 setiap kali kerajaan gagal atau tidak dapat memenuhi tuntutan demokrasi dan kehendak rakyat termasuk yang terbaharu pelaksanaan undi 18 serta pendaftaran pemilih secara automatik,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram