SSP
WARGA emas yang pernah memenangi kereta BMW sebelum ini menang pula wang tunai RM1 juta dalam cabutan SSPN BSN. - Gambar hiasan

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Begitulah agaknya tuah yang diperoleh oleh seorang warga emas yang dua kali berjaya memenangi hadiah utama kerana menyimpan di Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional.

Selepas memenangi kereta BMW 318i sebelum ini dalam cabutan tersebut, bapa kepada sembilan anak berumur 81 tahun itu kali ini membawa pulang ganjaran RM1 juta pula menerusi Cabutan Istimewa BSN SSP bagi Februari 2021.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata sebelum ini lelaki itu pernah membawa pulang hadiah pertama berupa sebuah kereta BMW 318i melalui cabutan bulanan pada Mei 2018.

“Hingga hari ini, beliau masih setia menyimpan dengan BSN SSP walaupun telah memenangi ganjaran menarik, termasuk cabutan istimewa BSN SSP RM1 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

BERITA BERKAITAN Banjir: BSN tawar tangguh bayaran pinjaman hingga 6 bulan

Memetik laporan Bernama.com, beliau berkata, sebagai bank komuniti, BSN akan terus mendukung mandat kerajaan untuk menggalakkan budaya menabung dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik, orang ramai dapat menikmati kadar keuntungan hingga 1.9 peratus setahun dengan menyimpan dalam BSN SSP Edisi Khas yang mana ia sama dengan kadar tetap di bank lain.

Buat kali pertama pada tahun ini, BSN turut mengumumkan 13 pemenang bagi Cabutan Tempatan yang membawa pulang sebuah kereta Perodua Myvi 1.5 Auto.

Cabutan itu diadakan pada Februari, Mei dan Ogos 2021 serta terbuka kepada penyimpan yang mempunyai BSN SSP dengan simpanan minimum RM100.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram