TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata hubungan erat dua hala Malaysia-Brunei menuju ke tahap lebih tinggi, terutama perhubungan mesra antaranya dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah yang dikenali sejak beliau menjadi Menteri Besar Johor.
“Saya percaya hubungan mesra dapat ditingkatkan ke tahap lebih tinggi,” kata perdana menteri pada akhir lawatan rasmi dua hari ke negara ini dan beliau berpuas hati dengan hasil lawatan itu.
Katanya, kebanyakan perkara yang dibincangkan dalam pertemuan empat mata antara beliau dan Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman di sini telah dipersetujui bersama.
Beliau berkata pertemuan empat mata itu berlangsung dalam suasana mesra dan santai.
“Semua perkara yang dibangkitkan telah mencapai sepersetujuan. Tidak ada satu perkara yang dibangkitkan, kami tidak persetujui,” kata Muhyiddin kepada wartawan Malaysia di Bandar Seri Begawan, hari ini seperti yang dilaporkan Bernama.com.
Muhyiddin mengadakan lawatan rasmi itu ke negara ini sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-23 Malaysia-Brunei Darussalam.
BERITA BERKAITAN PM tiba di Brunei untuk lawatan rasmi dua hari
Kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai isu dua hala termasuk ekonomi, kesihatan, pendidikan, pengangkutan, pertanian, pertahanan dan teknologi maklumat.
Isu-isu serantau dan antarabangsa turut dibincangkan termasuk perkembangan di Myanmar.
Lawatan rasmi itu di bawah prosedur operasi standard pencegahan COVID-19 yang ketat dan Muhyiddin berlepas kembali ke tanah air hari ini.
Sementara itu, dalam Facebook miliknya, Muhyiddin berkata beliau dan delegasi Malaysia termasuk isteri, selamat menyempurnakan lawatan rasmi dua hari ke Brunei.
Katanya, aturcara rasmi dimulakan dengan menghadiri majlis menghadap Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha di Istana Nurul Iman.
Katanya, pertemuan berlangsung dalam suasana yang amat baik, malah banyak perkara dibincangkan dan disepakati bersama dengan Sultan Hassanal Bolkiah yang dikenalinya sejak menjadi Menteri Besar Johor.
Beliau juga menyampaikan ucapan tahniah kepada Sultan Brunei selaku Pengerusi ASEAN 2021, dan menyatakan komitmen Malaysia untuk bekerjasama rapat dengan Brunei dalam pelaksanaan usaha pemulihan serantau pasca pandemik.
“Saya dan Sultan Hassanal Bolkiah kemudiannya menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman berhubung kerjasama pengurusan bencana di antara kedua-dua kerajaan, diikuti pemeteraian perjanjian unitization di antara Petronas dan Brunei’s National Unitisation Secretariat (BNUS),” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

