TAHUN 2019, RM254 juta (5,725 aduan).

Tahun 2020, RM287 juta (6,003 aduan).

Tahun 2021 setakat 24 Mac lalu, RM38 juta (1,392 aduan).

Jumlah tersebut merupakan nilai kerugian akibat ditipu penjenayah Macau Scam yang ‘meleburkan’ simpanan ramai rakyat Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, antara helah yang digunakan penjenayah Macau Scam pula ialah:

a) Menyamar sebagai pihak berkuasa

b) Menyamar pegawai institusi kewangan dan perkhidmatan

c) Menyamar sebagai ahli keluarga, rakan atau orang kenamaan.

Tambah Zainuddin, penjenayah ini akan menggunakan aplikasi Voice Over Internet Protocol untuk menyembunyikan identiti semasa menghubungi mangsa.

Menurutnya, jumlah yang dicatat itu menunjukkan peningkatan ketara dan jelas merupakan satu situasi yang perlu ditangani segera.

Datuk Zainuddin Yaacob

Justeru, katanya, sebagai salah satu mekanisme untuk memerangi jenayah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan sebuah pusat sehenti dikenali sebagai CCID Scam Response Centre.

“Menerusi pusat yang beroperasi sejak 15 Februari itu, orang ramai boleh membuat pertanyaan dan semakan berkaitan jenayah tersebut.

“Pusat itu turut berfungsi sebagai penerima maklumat pertama (maklumat nombor telefon dan maklumat akaun bank yang diberikan oleh sindiket Macau Scam) kejadian penipuan daripada mangsa atau mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan Macau Scam.

“Penerima panggilan boleh mendapatkan pengesahan sama ada panggilan yang diterima benar-benar daripada pejabat kerajaan, penipuan Macau Scam atau lain-lain kegiatan menipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Macau Scam: OCPD ditukar, ada yang ke KDN

Lepaskan suspek Macau Scam, ini khianat terang-terangan

Ujar Zainuddin, sehubungan itu, JSJK menyeru orang ramai agar memanfaatkan kemudahan ini bagi memastikan ancaman jenayah Macau Scam dapat diatasi dan matlamat pencegahan dapat dicapai.

Zainuddin berkata pusat berkenaan boleh dihubungi melalui talian 03-26101559 dan 03-26101599 setiap hari bermula 8 pagi hingga 9 malam.


Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram