SELEPAS viral sejak beberapa minggu lalu di laman TikTok, akhirnya kancil “lejen” ditahan pihak polis dalam satu operasi oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pemandu Kancil itu merupakan seorang lelaki berusia 47 tahun, beralamat di Jalan Raub, Pahang.
“Bertindak ke atas satu video Viral TikTok berkaitan sebuah kereta kancil warna kuning yang tiada bumbung, pihaknya telah tahan dan buat pemeriksaan ke atas sebuah kereta kancil warna kuning yang sama dalam video viral,” katanya ketika dihubungi dan menambah lelaki itu juga seorang gelandangan yang tidur di dalam kereta.
Operasi itu diketuai, Pegawai Turus Penguatkuasa Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Mohd Fadzli Mohd Yatim.
Pada 23 April lalu, UtusanTV telah melaporkan sebuah kancil usang mula berlegar-legar sekitar Kuala Lumpur dan kelibatnya menjadi bualan dalam laman TikTok.
Video kancil “lejen” atau #kancilghost itu juga banyak terhidang di laman TikTok di mana ia menimbulkan pelbagai reaksi warganet dan majoriti daripada mereka berasa kasihan terhadap pemandu kenderaan itu.
Rata-rata mereka yang memuat naik video tersebut sudah beberapa kali terlihat kancil usang itu di sekitar Kuala Lumpur.
Baca artikel berkaitan: Kancil ‘lejen’ kembali, #kancilghost mula tular di laman TikTok
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati pemandu tidak mempunya lesen memandu dan kereta kancil kuning itu turut tidak mempunyai cukai jalan.
“Ia juga tidak mempunyai bumbung dan tayar kereta hadapan sebelah kanan pecah,” katanya.
Tambahnya turut ditahan sebuah lagi kereta kancil warna hijau yang tidak mempunyai nombor pendaftaran dan cermin pecah dibahagian pintu belakang sebelah kiri.
“Kedua dua kereta tersebut ditahan dibawah Sesyen 64 APJ 1987 kerana tidak layak berada di atas jalan raya dan membahayakan kepada pengguna yang lain.”
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

