SEBANYAK 4,800 botol produk jamu bernilai RM432,000 dirampas dalam serbuan di sebuah rumah kedai dekat Bandar Tasek Raja, Pasir Mas, petang semalam.
Rampasan oleh sepasukan Strike Force Batalion ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) itu selepas pemeriksaan mendapati produk berkenaan tidak mempunyai sebarang kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pegawai Pemerintah Medan PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, ketika tiba di rumah kedai dua tingkat tersebut pada jam 1 tengah hari, terdapat seorang lelaki berumur 29 tahun dipercayai pekerja di situ.
“Pemeriksaan yang dilakukan di dalam rumah kedai itu menemukan sebanyak 4,800 botol jamu dengan setiap satu dianggarkan bernilai RM90,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Serbuan itu dilakukan selepas pihak PGA menerima maklumat berkaitan sebuah setor penyimpanan barang tanpa kelulusan.
Baca artikel berkaitan: Nak cerah, licin tapi awas racun perosak kulit dalam kosmetik
Nak sado lengan berketul tapi salah guna hormon testosterone
Mengulas lanjut, Azhari berkata, pekerja lelaki yang juga penduduk tempatan itu gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah dan kelulusan daripada KKM berkaitan produk yang disimpan di situ.
Katanya, hasil semakan dengan pihak KKM menyatakan produk terbabit tiada sebarang permohonan bagi memperoleh kelulusan bagi menyatakan produk berkenaan selamat digunakan.
“KKM memohon bantuan PGA7 merampas produk ini bagi tindakan selanjutnya kerana kebimbangan terdapat banyak barangan kosmetik di pasaran yang tidak mempunyai kelulusan pihak KKM serta memudaratkan kesihatan pengguna yang menggunakannya.
“Justeru, pihak kami telah menahan lelaki terbabit mengikut peruntukan di bawah Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) serta merampas barangan itu sebelum dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan.
“Siasatan lanjut oleh pihak berkaitan mengikut Peraturan 7 (1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

