Nak cerah, licin tapi awas racun perosak kulit dalam kosmetik

0
2826
Dr Noor Hisham Abdullah

ISU produk kosmetik mengandungi hydroquinone dan tretinoin yang merupakan racun berjadual bukan baharu.

Umumnya hydroquinone digunakan kerana mampu memberi kesan cerah manakala tretinoin mengatasi masalah jerawat.

Sedangkan kedua-dua racun itu mempunyai kesan yang amat membahayakan dan memberi kesan kekal pada kulit.

Misalnya dari nak cerah bersinar-sinar yang menjadi kegilaan kini, ia boleh jadi sebaliknya.

Justeru, dari semasa ke semasa ada saja tindakan diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas produk terlibat.

Terbaharu, KKM mengesan dua lagi produk yang mengandungi racun berjadual itu di pasaran.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata. produk itu ialah Beautywise Rejuvenating Cream dan Beautywise Rejuvenating Toner, yang masing-masing mengandungi hydroquinone dan tretinoin.

“Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM. Oleh itu, produk-produk kosmetik tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Menurutnya, penggunaan hydroquinone boleh menyebabkan kesan sampingan seperti kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Penggunaan tretinoin pula katanya, boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Menurutnya, penjual dan pengedar produk kosmetik berkenaan perlu menghentikan penjualan dan pengedaran serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

Ujar kenyataan itu, syarikat yang melakukan kesalahan itu pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Baca artikel berkaitan: FS Turmeric Cream diharamkan, mempunyai racun berjadual – KKM

Noor Hisham turut menasihatkan orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik itu agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang ramai juga digalakkan menyemak status notifikasi produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) (www.npra.gov.my) atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram