DR NOOR HISHAM ABDULLAH

MENJADI sado adalah keghairahan ramai ketika ini.

Ada pelbagai sebab lelaki masa kini mahukan tubuh badan tegap dan berotot.

Antaranya untuk kepuasan diri dan tak dinafikan ada juga yang mahu jadi sado untuk memudahkan mereka mengorat awek atau dipuji dalam media sosial.

Apa pun tujuan, bertubuh sasa memang ada kelebihan tetapi untuk mencapainya mestilah dilakukan dengan jalan latihan dan pemakanan.

Namun kerana untuk menjadi sado menuntut disiplin, keringat dan wang, ada yang tidak sabar dengan memilih jalan singkat bagi memperoleh lengan berketul-ketul.

Antaranya, suntikan dan produk mengandungi hormone testosterone tetapi awas, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memantau kerana ia adalah sejenis racun terkawal.

Justeru, demi keselamatan semua, KKM pada Isnin lalu melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah merampas produk mengandungi hormon testosterone.

Dalam serbuan di tiga lokasi di Ipoh itu, KKM turut merampas beberapa jenis ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi yang keseluruhannya bernilai lebih RM800,000.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, operasi itu hasil maklumat diterima CPF JKN Perak bahawa terdapat penjualan keluaran-keluaran tersebut secara runcit oleh pemilik premis terbabit.

Katanya, semua premis berkaitan disyaki merupakan salah satu rangkaian pengedar terbesar keluaran-keluaran tersebut ke pasaran di sekitar negeri Perak.

“Produk yang telah dirampas ini adalah merangkumi pelbagai jenis produk termasuk produk bina badan yang tidak berdaftar serta mengandungi racun antaranya yohimbine dan hormon testosterone.

“Rampasan ini juga merangkumi produk suntikan untuk bina badan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Noor Hisham, hormon testosterone dikategorikan sebagai racun terkawal dan hanya boleh diambil atas nasihat doktor dan ahli farmasi.

Baca artikel berkaitan: Nak cerah, licin tapi awas racun perosak kulit dalam kosmetik

Walau bagaimanapun katanya, hormon testosterone kerap disalahgunakan oleh individu untuk tujuan membina otot badan.

“Individu atau syarikat yang didapati terlibat menjual ubat-ubat dan kosmetik-kosmetik berkenaan akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

Hasil rampasan prdduk mengandungi racun terkawal setelah serbuan di tiga premis di Ipoh./ Gambar KKM

“Jika disabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya.

“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut pula, boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. Ini adalah bagi kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Jualan Dadah 1952,” tegasnya.-UtusanTV

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram