Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada hari ini telah mempertimbangkan rayuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk melihat semula keputusan mengenai SOP Sektor Sukan dan Rekreasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 7 hingga 20 Mei 2021.

Berdasarkan media sosial KBS, aktiviti sukan dan rekreasi yang dilakukan di kawasan terbuka tanpa bersentuhan fizikal seperti joging, berbasikal, senaman dan lain-lain dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter.

Menurut hantaran tersebut, aktiviti itu dilakukan di kawasan kejiranan atau terhad di mana-mana kawasan dalam daerah yang sama tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa.

Kebenaran itu, kata KBS kini boleh dijalankan berkuat kuasa bermula 8 Mei 2021.

“Kelonggaran-kelonggaran lain bagi sektor sukan dan rekreasi akan diperhalusi dalam Mesyuarat Teknikal MKN seterusnya,” kata kenyataan KBS itu.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menzahirkan rasa terima kasih kepada ahli Sidang Khas MKN khususnya Perdana Menteri yang telah memberi pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan KBS.

Baca artikel berkaitan: Selepas Selangor, giliran Kuala Lumpur pula PKP

Beliau turut menyeru para peminat dan penggiat sukan untuk terus melaksanakan aktiviti kecergasan dengan selamat sepanjang tempoh PKP ini.

“Kita masih lagi belum menang dalam melawan penularan COVID-19. Justeru, semua pihak hendaklah memainkan peranan yang lebih berkesan agar pelaksanaan PKP pada kali ini benar-benar mencapai matlamat yang dihasratkan” tambah beliau lagi.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram