KERAJAAN Selangor tidak berhasrat untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh bagi mengelakkan kelumpuhan ekonomi negeri dan rakyat, sebaliknya mencadangkan ia diadakan secara bersasar mengikut kluster.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud bagaimanapun memaklumkan kerajaan negeri akan akur sekiranya Kerajaan Persekutuan mengarahkannya mengambl tindakan tersebut.
“Sekiranya PKP tetap ingin dilaksanakan, penambahbaikan perlu dilakukan yang mana ia dilaksanakan mengikut kluster (kawasan tinggi kes). Penduduk kawasan terbabit perlu dilakukan ujian saringan serta divaksin untuk memastikan perkara yang sama tidak lagi berulang pada masa hadapan.
“Kita tidak mahu PKP seperti sebelum ini yang mana mereka tidak dibenarkan keluar dan apabila PKP itu tamat, kes akan kembali kerana kurang kesedaran terhadap kepatuhan pada prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Pasukan Khas COVID-19 Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Katanya, pasukannya dan kerajaan Selangor berada dalam tahap baik menguruskan wabak berkenaan. Pelaksanaan PKP secara menyeluruh juga akan menjejaskan ekonomi negeri terutamanya peniaga kecil.
BERITA BERKAITAN Kes Selangor tertinggi tetapi hanya 3.3 peratus rakyatnya di vaksin – Dr Siti Mariah
“Selangor menyumbangkan hampir 20 peratus kepada KDNK Malaysia dan pelaksanaan PKP penuh akan menyebabkan negara dan rakyat mengalami kesan ekonomi yang teruk,” katanya.
Sementara itu, Dr Dzulkefly yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, PKP tidak perlu dilaksanakan di Selangor kerana kadar kebolehjangkitan di negeri itu masih rendah berbanding negeri lain seperti Pahang dan Kedah.
Beliau juga menafikan dakwaan kerajaan negeri gagal membendung peningkatan penularan Covid-19 kerana Selangor masih merekodkan kadar kebolehjangkitan (Rt) rendah iaitu 1.14.
Pahang merekodkan Rt tertinggi iaitu 1.26 diikuti Kedah (1.24), Perak (1.22), Terengganu (1.20), Putrajaya dan Negeri Sembilan (1.16).
“Angka akan tetap tinggi tetapi adakah kita terbeban secara teruk sehingga kita mahu laksanakan PKP menyeluruh? Kita menolak keperluan itu tetapi perlu ada usaha untuk meminimumkan kesan terhadap rakyat yang terbeban ketika ini.
“Jangan jadikan ‘lock down’ jalan mudah kerana kegagalan kita urus PKP 2.0 contohnya. Kematian juga semakin hari semakin tinggi mencanak,” katanya
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

