LAPAN petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) terbunuh dalam serangan udara kejam dilakukan rejim zionis Israel di Beit Lahiya, utara Gaza, Sabtu lalu.
Ketua Aktivis MAPIM, Datuk Sani Araby dalam kenyataan memaklumkan, serangan tersebut berlaku pada pukul 1.30 petang waktu Gaza ketika para petugas berkenaan sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat genosid berterusan.
Menurut Sany, MAPIM dan rakan rasminya, Al-Khair Foundation amat terkejut dan berdukacita dengan tragedi berkenaan.
Beliau berkata, serangan tersebut telah meragut nyawa petugas kemanusiaan termasuk tiga pasukan media yang berdedikasi dalam menjalankan misi kemanusiaan.
Sany turut menyifatkan serangan tersebut sebagai jenayah perang yang sangat keji dan tidak berperikemanusiaan.
“Tindakan menyerang orang awam yang sedang menjalankan tugas kemanusiaan adalah jenayah paling keji dan terkutuk.
“MAPIM mengutuk sekeras-kerasnya jenayah perang ini dan menyeru rakyat Malaysia untuk mengadakan doa Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan saudara-saudara kita di Gaza.
Baca artikel lain: UNWRA buka 130 pusat pendidikan sementara di Gaza
“Serangan ini bukan sahaja mengorbankan nyawa yang tidak berdosa tetapi turut menjejaskan operasi kemanusiaan penting di Gaza.
“MAPIM kehilangan beberapa petugas yang sangat komited dan ikhlas berkhidmat termasuk seorang rakan media yang sangat rapat dengan saya,” katanya dalam kenyataan itu.
Lapan petugas kemanusiaan yang terkorban telah dikenalpasti sebagai; Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad.
Mengulas lanjut, Sany menegaskan serangan tersebut merupakan satu pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva yang melindungi hak penduduk awam di kawasan perang.
Justeru, MAPIM menggesa masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera menghentikan keganasan itu dan memastikan keadilan ditegakkan untuk mangsa yang terkorban serta keluarga mereka.
Selain itu, beliau berkata, MAPIM turut menyeru seluruh dunia untuk mengecam tindakan kejam itu tanpa kompromi.
“Ini bukan sekadar serangan ke atas Gaza – ia adalah serangan ke atas kemanusiaan.
“Kami menggesa pemimpin dunia, organisasi kemanusiaan dan masyarakat sivil untuk bersatu mengecam jenayah kejam ini dan menuntut pertanggungjawaban daripada pihak yang bertanggungjawab.
“Kita tidak boleh berdiam diri ketika nyawa orang yang tidak berdosa diragut dengan kejam.
“Masyarakat antarabangsa mesti tampil ke hadapan dan memastikan keadilan ditegakkan. Serangan ini adalah satu serangan langsung terhadap maruah manusia dan keamanan dunia,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

