SYARIKAT penyedia pes kering, Sudee Holdings Berhad (Sudee) bersama penyedia dapur untuk masakan di Makkah, Aysar Sudee Sdn Bhd akan mengetengahkan masakan asli Melayu dalam program khas Iftar@Road2Haramain.
Ketua Pegawai Eksekutif Sudee, Khairie Kemat berkata, antara masakan yang akan disediakan untuk menyantuni jemaah haji dan umrah dalam program tersebut adalah nasi belauk seperti gulai kawah, masak hitam, sambal serta Kopi Coffee Star.
Jelas beliau, inisiatif itu dilihat akan memudahkan para jemaah haji dan umrah yang sukar mendapatkan makanan akibat beberapa rintangan di kawasan-kawasan tertentu seperti di lapangan terbang dan ketika khemah dilanda hujan.
“Penyediaan makanan itu akan lebih berkualiti dan sistematik kerana fasiliti dapur yang moden yang boleh menghasilkan makanan untuk 25,000 pek pada satu masa, dan disokong oleh pes kering Sudee yang telah diakui sangat mudah digunakan dan juga rasa sedap yang konsisten.
“Dengan cara ini, penyediaan makanan ini dapat dihasilkan dalam masa yang singkat dan diberikan kepada jemaah dalam keadaan yang masih panas dan segar,” katanya.
Terdahulu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Coffee Star, Aysar Sudee Sdn Bhd, dan Aysar Arab Saudi telah melancarkan program khas Iftar@Road2Haramain bagi menyediakan juadah berbuka puasa kepada para jemaah haji dan umrah di Tanah Suci.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen MAPIM dalam memastikan kebajikan jemaah umrah dan haji terus dipelihara, terutama dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
“Program ini bukan sekadar penyediaan makanan, tetapi juga satu bentuk santunan kepada para jemaah yang beribadah di Tanah Suci. Ia mencerminkan semangat persaudaraan Islam serta kepedulian terhadap mereka yang berada jauh dari tanah air.
“Kami percaya bahawa memberi makan kepada orang yang berpuasa adalah satu amalan yang amat besar pahalanya, sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW,” katanya.
Untuk rekod, program itu akan dilaksanakan di beberapa lokasi strategik, termasuk di Lapangan Terbang Malaysia (KLIA & KLIA2), Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz (Jeddah), serta di kawasan sekitar Makkah dan Jeddah dengan sasaran penyediaan 10,000 pek makanan setiap hari.
Dalam pada itu, MAPIM menyeru lebih banyak pihak termasuk badan korporat, NGO, serta individu dermawan untuk turut serta dalam menjayakan program ini melalui sumbangan dan penyertaan sukarelawan.
“Kami mengalu-alukan sokongan dari pelbagai pihak untuk memastikan kelangsungan program ini. Setiap sumbangan, sama ada dalam bentuk kewangan atau tenaga, akan memberi impak besar kepada ribuan jemaah yang berada di Tanah Suci,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

