Tak kira siapa, tak nak ikut peraturan, saya arah tutup kilang – Ayob Khan

0
135160
Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

“SAYA tak kira dia warganegara mana pun. Ikut peraturan dan undang-undang di Malaysia. Ada lagi aduan, saya akan arah tutup kilang.”

Demikian tegas Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay selepas pihaknya menerima aduan ada warga asing yang juga kakitangan tertinggi kilang di Johor enggan mematuhi peraturan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Menurut Ayob Khan, beliau sendiri telah turun bertemu pegawai warga asing terbabit dan memberi amaran supaya mengikut peraturan yang telah ditetapkan kerajaan.

Jelas beliau, pasukan pemantauan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak lebih agresif selepas ini bagi memastikan pematuhan terhadap SOP COVID-19 yang telah ditetapkan.

Ayob Khan malah berkata, tiada lagi nasihat akan diberikan selepas ini sebaliknya pasukan pematuhan akan terus mengeluarkan kompaun kepada sesiapa yang melanggar SOP.

“Kita tekankan di sini adalah pematuhan terhadap SOP. Pemilik premis perlu bertanggungjawab terhadap pekerja terlibat bagi memastikan mereka mematuhi semua prosedur ditetapkan.

Baca artikel berkaitan: Peras ugut kekasih, 3 Lans Koperal PGA didakwa – Ayob Khan

“Ada satu kilang di mana salah seorang pegawai tertinggi warga asing sebelum ini katanya tak nak bagi kerjasama, tak nak ikut peraturan ditetapkan kerajaan. Saya dah bagi amaran. Ada lagi aduan saya akan arah tutup kilang.

“Saya tak kira dia warganegara mana pun. Ikut peraturan dan undang-undang di Malaysia. Kakitangan tempatan tiada masalah untuk ikut. Cuma warga asing ini keras. Nanti kita akan lembutkan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Polis Johor hari ini melaksanakan operasi secara bersepadu dengan kerjasama beberapa jabatan dan agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan setiap premis yang diperiksa mematuhi SOP COVID-19.

Operasi secara bersasar itu melibatkan 10 premis perindustrian sekitar Seri Alam dan Iskandar Puteri dengan jumlah kekuatan petugas seramai 39 orang.

Secara keseluruhan, kata Ayob Khan, tahap pematuhan kepada SOP di Johor masih tinggi iaitu antara 97 ke 98 peratus.

Namun begitu, beliau berkata, masih ada sesetengah premis, kilang, restoran atau pasar yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

“Sehingga kini, jumlah kompaun yang dikeluarkan sejak 13 Januari adalah sebanyak 4,085 dengan daerah Johor Bahru Selatan, Kulai dan Segamat merupakan kawasan tertinggi pengeluaran kompaun.

“Saya tekankan kepada pasukan pemantauan untuk pastikan pemeriksaan dibuat. Jangan sekadar pergi tengok sahaja. Selagi tindakan tidak diambil, kejadian tersebut akan berulang,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram