KUAN Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang terlibat secara aktif dalam aktiviti kebajikan sejak 10 tahun yang lalu dengan turun padang menyalurkan keperluan asas kepada mereka memerlukan.

Dia turut dikenali kerana menyediakan perkhidmatan ambulans dan van jenazah kepada masyarakat sekitar.

Kerja-kerja kebajikan yang dilakukannya itu akhirnya memberikan balasan manis setelah mendapat pengikhtirafan ‘Point of Light’ daripada Ratu Elizabeth II – suatu yang tidak pernah dijangka.

Pengikhtirafan ‘Point of Light’ daripada Ratu Elizabeth II ini merupakan satu pengiktirafan yang dianugerahkan kepada negara anggota Komenwel sebagai tanda pengiktirafan atas kerja sukarelawan yang membuat perubahan di dalam komuniti.

Kata Uncle Kentang dalam wawancara menerusi Instagram Live bersama mStar baru-baru ini, dia tidak sangka untuk mendapat pengiktirafan tersebut namun tetap berbesar hati dan menganggap anugerah itu adalah juga untuk seluruh rakyat Malaysia.

Beliau turut berterima kasih kepada media yang menyebarkan berita mengenai misinya dalam membantu masyarakat. Tanpa media, orang pun tak tahu, katanya.

“Kita buat kerja ini untuk suka-suka je bukan nak dapatkan pengiktirafan atau sijil. Bila kita bagi makanan atau ikan, makcik yang dapat ikan pun gembira. Apa lagi yang kita mahu? Makcik tu iktiraf kita pun, kita dah senyum dah,” tambahnya lagi.

Malah, dia turut menganggap dirinya hanyalah pengantara kepada orang ramai yang turut tampil menghulurkan derma kepada golongan yang memerlukan dan gembira dengan perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat di Malaysia yang tidak kira agama atau bangsa bergandig bahu untuk membantu orang susah.

BERITA BERKAITAN Misi Bantuan Kemanusiaan Ebit Lew dijangka tiba di Gaza hari ini

Mempunyai objektif yang sama dalam aktiviti kemasayarakatan dan kebajikan, Uncle Kentang turut berbesar hati sekiranya diberikan peluang untuk berganding tenaga bersama seorang lagi aktivis masyarakat terkenal, Ustaz Ebit Lew.

Aktivis yang cukup dikenali di laman sosial Facebook ini dengan rendah diri menyatakan bahawa dia hanyalah insan yang kerdil jika dibandingkan dengan aktivis masyarakat kebanggaan rakyat Malaysia itu.

“Jika diizinkan Tuhan, kita akan bergabung buat mana perlu. Ustaz Ebit pun baru sahaja ke Palestin.

“Semua ini takdir. Kun Fayakun, Jadi maka jadilah ia. Kita serahkan kepada Tuhan dan kita buat apa yang kita boleh buat,” katanya.

Uncle Kentang dijadualkan untuk menerima pengiktirafan ‘Point of Light’ di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur sempena hari lahir Ratu Elizabuth II pada 10 Jun ini.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram