PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengambil langkah proaktif dengan memberi kelonggaran dan pemanjangan tempoh bagi penghantaran dokumen tawaran serta perjanjian pinjaman ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.
Menurut PTPTN dalam kenyataan, dokumen bagi kelulusan baharu bertarikh 7 Mei lalu dilanjutkan tempoh penghantaran sehingga 28 Jun depan.
Katanya, peminjam yang telah diluluskan pertukaran ujrah mulai Mei 2021 dan penstrukturan semula pinjaman bulan Jun pula boleh membuat penghantaran dokumen selewat-lewatnya 30 Jun ini.
“Semua dokumen tersebut boleh dihantar melalui pos ke Ibu Pejabat PTPTN di Menara PTPTN, Kuala Lumpur,” jelas kenyataan itu hari ini.
Pada masa sama, PTPTN memaklumkan perkhidmatan kaunter di pejabat PTPTN negeri dan cawangan seluruh negara ditutup mulai hari ini sehingga 14 Jun selaras dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa pertama.
Baca artikel berkaitan: Ringan beban rakyat, PM umum Pemerkasa Plus RM40 bilion
Namun begitu, PTPTN telah menyediakan kemudahan perkhidmatan yang lebih selamat dan cepat iaitu secara dalam talian melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my.
PTPTN memberitahu pelaksanaan kemudahan perkhidmatan dalam talian dan kelonggaran yang diberikan adalah bukti komitmen perbadanan itu untuk memastikan urusan pelanggan tidak terjejas.
“PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa prihatin dan peka serta mengambil berat terhadap keperluan pelanggan.
“Orang ramai boleh menggunakan portal dalam talian bagi urusan permohonan pinjaman, bayaran balik pinjaman, pembukaan akaun atau penambahan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
“Pelanggan tidak perlu berurusan secara bersemuka serta dapat menjimatkan masa, mudah dan selamat.
“PTPTN juga akan sentiasa berusaha bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah yang terbaik untuk pelanggan. Sebarang maklumat terkini boleh diperolehi melalui portal rasmi PTPTN,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

