PENGAMBILAN minuman keras bukan sahaja memudaratkan kesihatan tetapi juga merubah kelakuan sehingga tidak mampu dikawal.
Namun begitu, ada juga segelintir pihak tidak bertanggungjawab cuba melepasi kawalan pihak berkuasa dengan menyeludup minuman berkenaan.
Taktik dua sindiket yang mengikrar barangan lain itu bagaimanapun berjaya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Klang pada 3 dan 29 Mei lalu.
Penolong Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan dalam kenyataan memaklumkan, cubaan kedua-dua sindiket menyeludup arak dengan anggaran termasuk cukai bernilai lebih RM1.3 juta itu telah berjaya ditumpaskan JKDM.
Menurut beliau, sindiket pertama melibatkan nilai rampasan bernilai RM115,380 sebanyak 23,076 liter arak dengan nilai cukai dianggarkan berjumlah RM1.071 juta.
Sindiket kedua pula, kata beliau, membabitkan rampasan sebuah kontena dengan nilai RM110,880 membabitkan kuantiti sebanyak 22,176 liter minuman keras serta jumlah cukai berjumlah RM346,500.
“Bagi kes pertama, pasukan penguatkuasa telah menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah kontena dan menemui minuman keras berjenama Strong Southan yang dipercayai belum diluluskan JKDM.
“Berdasarkan maklumat dalam bil muatan, barangan tersebut dinyatakan sebagai ‘Stainless Steel Welded Pipe’ dengan kes tersebut sedang disiasat bagi mengetahui syarikat atau ejen penghantaran yang terbabit untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan berkenaan hari ini.
Bagi kes kedua pula, Zazuli memberitahu, pihak penguatkuasaan menemui minuman keras berjenama Tiger Beer Lager 5 peratus ALC yang juga dipercayai belum diluluskan JKDM.
Baca artikel berkaitan: PKP: Operasi kilang minuman keras ditutup serta-merta
“Barangan ini juga telah diikrar dengan barangan lain iaitu sebagai Castor Wheel menggunakan Borang Kastam 1 dan minuman keras pula diklasifikasikan sebagai barang dagangan terlarang di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga/Bahagian III, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017,” jelas beliau.
Zazuli memaklumkan kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(g) Akta Kastam 1967 iaitu cubaan mengelakkan dengan fraud duti kastam serta mengelakkan larangan import.
Jika disabit kesalahan, hukuman denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar boleh dikenakan.
Pesalah juga boleh dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada masa sama, Zazuli juga disiasat di bawah Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1975 iaitu cuba mengelakkan dengan fraud duti eksais.
Kesalahan berkenaan membawa hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda jumlah duti eksais atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali jumlah duti eksais atau RM500,000 yang mana lebih besar.
Selain itu, pesalah juga boleh dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

