Sekatan jalan raya ditambah bermula 1 Jun sempena Perintah Kawalan Pergerakan Penuh. - GAMBAR: Abd Razak Aid

SETELAH tiga hari penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘total lockdown’, masih ramai daripada rakyat negara ini mencuba nasib untuk merentas daerah atau negeri tanpa surat kebenaran bagi mencapai tujuan tertentu.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, statistik Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 86,055 pemeriksaan semalam.

Dalam operasi itu, kesalahan ‘tidak memakai pelitup muka’ dan cubaan ‘merentas negeri/daerah tanpa kebenaran serta makan di premis’ adalah tertinggi dengan masing-masing mencatatkan 237 dan 186 kes.

Operasi melibatkan 4,515 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 19,846 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semalam, 946 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 924 individu dikompaun manakala 22 lagi direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah:

  • Tidak memakai pelitup muka (237)
  • Rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis (186)
  • Gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (160)
  • Tiada penjarakan fizikal (156)
  • Tidak patuh arahan kawalan pergerakan (71)
  • Membawa penumpang berlebihan (63)
  • Premis gagal patuhi arahan (14)
  • Lain-lain (59)

Sementara itu, enam Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu telah dibuka hasil inisiatif Kementerian Pertahanan bagi menyahut seruan kerajaan dalam merancakkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Ismail Sabri berkata, sebagai pasukan barisan hadapan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah tentu akan terkehadapan dalam program vaksinasi selaras dengan kedudukannya sebagai benteng negara yang berperanan untuk membentuk imuniti kelompok.

“Justeru, rakyat disaran agar menyahut usaha dilakukan kerajaan dengan menyokong PICK bagi berganding bahu menyelamatkan negara daripada pandemik ini,” katanya.

Sehingga semalam, seramai 3.33 juta penduduk telah divaksin iaitu 2.2 juta mendapat dos pertama manakala 1.1 juta sudah melengkapkan dos kedua.

Sejak dilancarkan pada Februari 2021 kerajaan mensasarkan 80 peratus daripada populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin ini secara percuma menjelang hujung tahun, bagi membentuk imuniti berkelompok.