5 beradik
RODZI Tahar, 55, (kiri) dan Nazita Idris, 45, (kanan duduk) meninggalkan lima anak selepas mereka meninggal dunia akibat COVID-19. - Gambar BERNAMA

HANYA dalam masa enam hari, lima beradik di Port Dickson kehilangan ibu dan bapa tersayang akibat dijangkiti COVID-19 yang tidak diketahui dari mana datang punca jangkitannya.

Muhammad Haidir Rodzi, 23, berkata, bapa mereka meninggal dunia pada 31 Mei lepas selepas dimasukkan ke hospital apabila disahkan dijangkiti virus tersebut, sebelum ibunya turut meninggal dunia enam hari kemudiannya.

“Kami berasa sedih, namun reda dengan ketentuan Allah atas pemergian ibu bapa tersayang.

“Perkara paling menyedihkan apabila kami sekeluarga tidak dapat mencium jenazah arwah ibu dan bapa buat kali terakhir, namun doa dan ingatan sentiasa ada buat mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, pesanan ibu supaya menjaga adik-adik dengan baik sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat positif COVID-19 masih terngiang-ngiang dalam ingatan.

Muhammad Haidir tidak menyangka pesanan menerusi panggilan video itu merupakan amanat terakhir ibu kepadanya sebagai anak sulung untuk mengambil alih tanggungjawab menjaga adik-beradik setelah mereka kehilangan ibu bapa dalam masa singkat.

BERITA BERKAITAN 103 kematian, korban COVID-19 kini lepasi angka 3,000

Sememangnya, satu ujian berat buat lima beradik itu apabila ayah mereka, Rodzi Tahar, 55, yang nafas terakhir di Hospital Tampin, manakala ibunya Nazita Idris, 45, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).

Muhammad Haidir bersama-sama empat adiknya iaitu Muhammad Hairie Rodzi, 20, Nurhairieka Rodzi, 18, Muhammad Haiqiel Rodzi, 13 dan Muhammad Khierzamani Rodzi berusia tujuh tahun kini menetap di rumah peninggalan arwah bapa mereka di Bandar Sunggala, Port Dickson.

Berkongsi lebih lanjut, Muhammad Haidir berkata bapanya mengalami demam biasa pada 26 Mei lepas dan mengambil keputusan untuk menjalani ujian saringan di Hospital Port Dickson pada 29 Mei.

Selepas disahkan positif keesokkan harinya, dia dihantar ke Hospital Tampin.

Namun, tanpa diduga, keluarga mereka menerima perkhabaran duka apabila doktor mengesahkan bapanya meninggal dunia pada 4.30 pagi keesokan harinya.

“Perkara paling menyedihkan apabila arwah bapa tidak sempat meninggalkan pesanan buat kami selepas dimasukkan ke hospital.

“Bapa saya mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, kencing manis dan sakit buah pinggang manakala ibu mempunyai penyakit darah tinggi. Jadi mereka golongan berisiko.

“Kami tidak tahu punca jangkitan dapat dari mana dan tidak tahu kontak rapat dari siapa?,” katanya.

Muhammad Haidir berkata arwah ibunya melakukan ujian calitan pada 30 Mei selepas mengalami simptom seperti demam dan batuk serta disahkan positif COVID-19, pada keesokan harinya.

Katanya mereka adik-beradik juga didapati positif COVID-19 dan menjalani kuarantin di rumah, bagaimanapun tidak mengalami simpton yang teruk dan kini telah sembuh daripada jangkitan itu.

Menjadikan kisah keluarganya sebagai contoh, Muhammad Haidir mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan ditetapkan kerajaan dan tidak memandang remeh terhadap penularan wabak COVID-19 yang boleh meragut nyawa insan tersayang.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram