“Katak oh katak, kenapa kau panggil hujan? Macam mana aku tak panggil, ular nak makan aku… ular nak makan aku”.
Ingat lagi sebahagian lirik lagu kanak-kanak ‘Katak Oh Katak’ itu? Katak, haiwan yang sinonim dikaitkan dengan hujan. Malah, terdapat budaya aneh yang menggunakan katak bagi memanggil hujan.
Wilayah Assam di bahagian timur laut India mempunyai tradisi aneh untuk memanggil hujan turun. Caranya ialah dengan mengahwinkan sepasang katak.
Majlis meraikan ‘mempelai’ katak ini dijalankan atas sebab-sebab tertentu. Salah satunya jika wilayah itu mengalami musim kemarau yang teruk. Secara tidak langsung, ia dianggap sebagai upacara wajib dilakukan oleh masyarakat setempat untuk memanggil hujan.
Sebagai contoh, penduduk di sebuah kampung akan bergotong royong untuk sama-sama menjayakan majlis perkahwinan haiwan ini. Bahkan, katak itu akan dikahwinkan oleh jurunikah.

Apabila musim kemarau melanda, pelbagai jenis tanaman yang diusahakan oleh seluruh penduduk kampung mati akibat kekurangan air.
Apabila situasi ini berlaku, penduduk kampung akan bersepakat untuk mengadakan sebuah majlis perkahwinan bagi mengelakkan, musim kemarau terus berpanjangan.
Mengikut adat mereka, pengantin haruslah daripada spesies katak liar di sekitar kawasan hutan berhampiran kampung tersebut. Untuk tujuan itu, hampir setengah dozen katak akan ditangkap oleh penduduk kampung berkenaan.
Bagaimanapun, dalam tradisi perkahwinan ini hanya dua ekor katak sahaja yang akan dikahwinkan. Seorang individu berpengalaman terdiri daripada warga emas bertanggungjawab untuk memilih katak yang sesuai antara jantan dan betina.
Selesai proses pemilihan, katak betina dan jantan itu akan diasingkan terlebih dahulu. Ketika peringkat pengasingan dijalankan, kedua-dua haiwan ini akan disiapkan dengan pelbagai kelengkapan perkahwinan. Malah, katak ini akan dipakaikan kain, disolekkan dan dipasang aksesori tambahan lain.
Setelah itu, upacara penyatuan akan dijalankan. Proses penyatuan ini dijalankan di kawasan katak betina disimpan. Sama seperti majlis perkahwinan manusia di sana, katak jantan akan diarak oleh kumpulan tertentu sebelum disatukan dengan katak betina.

Majlis keraian ini disambut meriah oleh penduduk kampung. Sebelum upacara ini dijalankan, satu siaran rasmi akan diberitahu menerusi alat pembesar suara. Biasanya, ia diperdengarkan ke seluruh kampung agar menghadirkan diri ke majlis memanggil hujan tersebut. Para hadirin yang menyertai majlis perkahwinan katak ini dikehendaki menyumbangkan derma berupa wang atau barangan lain.
Selepas katak jantan dan betina disatukan, kedua-dua haiwan ini akan dilepaskan di sebuah kawasan yang berdekatan dengan kolam. Ia merupakan upacara penutup bagi majlis perkahwinan ini.
Entah kebetulan atau pun tidak, tetapi selalunya tidak lama selepas majlis ini dijalankan, kawasan kampung itu akan mula dilitupi awan gelap menandakan hujan akan turun. Dan memang selalunya hujan benar-benar turun selepas kedua-dua katak berkenaan dilepaskan.
Cuma, kadar curahan hujan itu tidak memuaskan kerana hujan turun dalam tempoh beberapa minit sahaja.
Selalunya jika hujan itu dirasakan tidak mencukupi, mereka tidak menolak untuk mengadakan satu lagi upacara perkahwinan katak ini bagi memanggil hujan turun.
_________
Baca juga kisah : Sokushinbutsu : Amalan aneh rahib yang memumiakan diri sendiri