TIDAK kira siapa pun anda, jangan menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebarkan berita palsu.
Lebih membimbangkan, berita yang anda sebarkan itu boleh mendatangkan kegentaran umum apatah lagi sekiranya ia melibatkan vaksin.
Umum mengetahui buat masa ini mungkin hanya vaksin sahaja dapat melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19 yang makin mengganas.
Gara-gara menyebarkan berita palsu mengenai vaksin Sinovac, seorang doktor yang mengaku bersalah menerbitkan berita tidak benar di Beseri, Perlis, April lalu didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini.
Tertuduh, Jamnul Azhar Mulkan, 53, juga boleh dipenjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan.
Memetik BH Online berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan akaun Facebook UiDM Polimas dengan niat menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam dengan mengadakan penerbitan mengandungi berita tidak benar melalui video ceramahnya.
Baca artikel berkaitan: Sebar berita palsu, guru tuisyen individu pertama didakwa di bawah Ordinan Darurat
Doktor itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Klinik Kesihatan Beseri, Padang Besar pada pukul 8.10 pagi 20 April lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 di mana sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada masa sama, Jamnul Azhar juga boleh didenda tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Dia kemudian membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet.
Pendakwaan dilakukan oleh Pengarah Pendakwaan Perlis, Mohd Nordin Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.
Mohd. Khairul Hafizuddin yang mewakili anak guamnya dalam hujahan rayuan berharap mahkamah dapat memberikan hukuman setimpan berdasarkan rayuan bersalah yang dianggap menjimatkan masa dan kos perbicaraan.
Jamnul Azhar juga dikatakan bukan individu anti vaksin kerana telah pun melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer 17 Mei lalu.
Namun begitu, Mohd. Nordin dalam hujahan balas pula mahu mahkamah melihat perbuatan tertuduh yang boleh menimbulkan salah faham masyarakat dalam usaha kerajaan memberikan vaksin kepada rakyat.
Perbuatan tertuduh yang tular itu juga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat sekali gus mampu merencatkan usaha memperoleh imuniti kelompok.
Tertuduh kemudiannya membayar denda sejurus selesai prosiding mahkamah.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

