TIGA individu berusia 30-an antara 107 kematian akibat wabak COVID-19 yang dilapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 54 kematian dilapor di Lembah Klang dengan 43 di Selangor dan 11 di Kuala Lumpur.
Katanya, Negeri Sembilan pula melaporkan 16 kes manakala Kedah dan Melaka masing-masing melaporkan tujuh kes, diikuti enam kes di Johor.
“Turut dilaporkan masing-masing empat kes di Sabah, Kelantan, dan Wilayah Persekutuan Labuan, masing-masing dua kes di Sarawak dan Pahang serta satu kes di Terengganu.
“Keseluruhan kes kematian akibat COVID-19 kini berjumlah 5,108,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Daripada kenyataan itu, korban termuda hari ini melibatkan seorang lelaki berusia 34 tahun yang meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Lelaki itu mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.
Sejak kebelakangan ini, kes kematian COVID-19 berada di bawah tiga angka dengan semalam, 57 korban dilaporkan.
Baca artikel berkaitan: 57 kematian, korban akibat jangkitan COVID-19 lepasi 5,000
6,437 kes baharu, KL melonjak dengan 1,361 penularan
Kali terakhir kes kematian harian melebihi angka 100 adalah pada 15 Jun lalu dengan 101 korban.
Sementara itu, kata Noor Hisham, sebanyak 5,298 kes sembuh dilaporkan hari ini berbanding 6,437 kes baharu.
Katanya, ini menjadikan kes aktif berjumlah 62,844 kes.

“Daripada jumlah itu, 905 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 455 kes memerlukan alat bantuan pernafasan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan terdapat 887 kluster aktif ketika ini.
Katanya, kluster baharu yang dilaporkan KKM hari ini pula berjumlah 27.

Majoriti kluster yang dilaporkan hari ini adalah kluster komuniti dengan 13, tempat kerja (12) manakala kumpulan berisiko tinggi serta pendidikan masing-masing satu.
Antara kluster melaporkan kes tertinggi adalah Industri Lorong Bunga Tanjung Sabtu di Negeri Sembilan.
Sebanyak 101 kes positif dikesan dalam kalangan 184 individu yang disaring daripada kluster berkenaan.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

