PERDANA Menteri dan barisan Kabinet sedia ada ternyata masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan.
Perkara itu ditegaskan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam kenyataan hari ini.
Buat masa ini, kata beliau, kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan bahawa Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
Beliau memaklumkan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri.

“Merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Presiden UMNO bertarikh 7 Julai 2021, kenyataan tersebut merupakan kenyataan daripada suatu parti komponen yang membentuk Kerajaan sedia ada yang telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 4(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri dan bukan melalui kenyataan oleh sesuatu parti politik ataupun mana-mana pemimpin parti politik,” katanya dalam kenyataan itu.
Baca artikel berkaitan: UMNO umum tarik serta-merta sokongan terhadap Muhyiddin
Mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi memutuskan parti itu menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa serta-merta.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, keputusan itu dipersetujui bersama selepas UMNO mendapati Muhyiddin gagal terutama dalam mengurus ekonomi negara, pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.
UMNO turut mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.
Tempoh Perdana Menteri yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani COVID-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi serta imunisasi dapat disegerakan.
Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

