SEJAK kebelakangan ini, kira-kira separuh kes COVID-19 di seluruh negara adalah direkodkan di Selangor dan Kuala Lumpur.
Hari ini misalnya, Selangor sahaja melaporkan 4,400 kes daripada 9,180 kes di seluruh negara.
Mengulas hal ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kes di Selangor dan Kuala Lumpur telah dijangkakan.
Katanya, ini berikutan peningkatan saringan bertumpu atau targeted screening yang sedang giat dijalankan di kawasan-kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menurut beliau, ini termasuk saringan yang dijalankan di kilang-kilang.
“Didapati terdapat ramai juga individu di kawasan Lembah Klang yang tampil sendiri ke klinik swasta untuk menjalani ujian COVID-19. Mereka adalah dalam kalangan yang berisiko tinggi misalnya yang bergejala atau kontak rapat.
“Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus menjalankan aktiviti pengesanan kontak rapat dan tindakan pengasingan kes positif COVID-19 bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Baca artikel berkaitan: 9,180 kes baharu, rekod tertinggi!!
8,868 kes baharu, 4,152 di Selangor!!
Dalam perkembangan sama, Noor Hisham memaklumkan sebanyak 5,713 kes sembuh COVID-19 dilaporkan hari ini berbanding 9,180 kes baharu.

Katanya, ini menjadikan kes aktif COVID-19 kini berjumlah sebanyak 80,665 kes.
“Daripada jumlah itu, 959 inidividu positif COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 465 kes memerlukan bantuan pernafasan,” jelasnya.
Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan sebanyak 77 lagi kematian akibat COVID-19 dilaporkan hari ini.

Menurutnya, sebanyak 28 kes adalah di Selangor, 17 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sembilan kes di Melaka, masing-masing lima (5) kes di Johor dan Negeri Sembilan.
“Turut dilaporkan, empat kes di Pahang, tiga kes di Sarawak,masing-masing dua kes di Perak dan Terengganu, serta masing-masing satu kes di Kedah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

