BAYARAN tambahan Geran Khas Prihatin 3.0 (GKP 3.0) sebanyak RM500 kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro akan dibayar mulai hari ini secara berperingkat.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bayaran tambahan itu telah diumumkan melalui pakej rangsangan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) sebelum ini.
Kata beliau, pembayaran itu yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak hampir RM500 juta akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP.
Menurut beliau, bayaran tambahan bagi GKP 4.0 kepada penerima sedia dan baharu di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan pada 28 Jun lalu akan disalurkan pada bulan September dan November.
“Bagi PKS mikro yang tidak pernah menerima GKP sebelum ini, tempoh pendaftaran GKP 4.0 akan dibuka mulai 15 hingga 31 Julai ini.
Baca artikel berkaitan: Permohonan i-Citra dibuka esok, pembayaran pertama Ogos
“Secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada hampir 1 juta PKS mikro di bawah GKP semenjak COVID-19 melanda negara adalah sebanyak RM6.08 bilion.
“Kerajaan berharap agar bantuan langsung berterusan yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka terutamanya perniagaan yang masih tidak dibenarkan beroperasi pada ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, banyak lagi inisiatif yang boleh dimanfaatkan PKS mikro sepenuhnya sebagai persediaan untuk perancangan jangka panjang ke arah pemulihan perniagaan masing-masing selain GKP.
Katanya, ini termasuk dana pinjaman mudah PKS mikro yang keseluruhannya berjumlah RM2.9 bilion melalui Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank, Mara, SME Corp. Yapeim dan TEKUN.
“Peruntukan dana pinjaman mudah bagi PKS dan PKS mikro juga tersedia di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM8.6 bilion.
“Jumlah ini termasuk dana tambahan sebanyak RM2 bilion melalui pakej Pemerkasa Plus dan RM2 bilion lagi menerusi pakej PEMULIH.
“Ketersediaan dana-dana pinjaman mudah dan bantuan-bantuan lain bertujuan menampung keperluan pembiayaan PKS mikro bagi menyokong perkembangan masing-masing selaras dengan pemulihan ekonomi yang digariskan melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Ini membuktikan kesungguhan dan usaha berterusan kerajaan dalam membantu perniagaan untuk kekal bertahan bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

