EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin membidas kenyataan bekas Ketua UMNO Bahagian Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin kerana mula memainkan isu calon di Lembah Pantai di saat negara sedang berhadapan isu COVID-19 dan kesengsaraan rakyat.
“Ini bukan masa nak letak siapa calon, siapa layak, sekarang waktu bersama rakyat dan bantu rakyat. Bahagian sudah bawa nama ke atas, sampai masa biarlah kepimpinan tertinggi UMNO putuskan siapa yang benar-benar layak,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Beliau berkata, pemimpin itu tidak seharusnya hanya turun membantu rakyat tetapi pada masa yang sama meminta meletakkan namanya sebagai calon pilihan dalam pilihan raya akan datang.
“Sekiranya Raja Nong Chik masih meminta untuk meletakkan calon atau bertegas menjadi calon bebas, saya sedia berhadapan dan menawarkan diri untuk bertanding di Parlimen Lembah Pantai sekiranya pucuk pimpinan parti tidak mencalonkan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ramlan Askolani atau Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Tengku Datuk Zuhri Tengku Abdul Aziz ataupun Ketua Puteri Dr. Masliha Harun sebagai calon UMNO di Lembah Pantai,” katanya.
Muhamad Muqharabbin mengkritik kenyataan Raja Nong Chik yang ingin bertanding sebagai calon bebas serta meminta agar Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai calon di kawasan itu tanpa memaklumkan kepimpinan bahagian.
“Saya menghormati cadangan beliau sebagai mantan Ketua Bahagian saya yang menginginkan calon UMNO lain, tetapi beliau membuat kenyataan media tanpa berbincang dengan Exco Kanan UMNO Bahagian, adalah tidak tepat dan mengguris perasaan kepimpinan UMNO Bahagian,” katanya.
Katanya, penduduk mengetahui Raja Nong Chik amat berjasa di Lembah Pantai dan mengethaui perkembangan masa kini tetapi tidak patut beliau memilih calon mengikut kehendaknya tanpa berunding dan membelakangkan UMNO Bahagian.
“Kenyataan beliau memilih untuk bertanding bebas juga melambangkan ketidaksetiaan beliau kepada parti sekiranya ada calon luar yang dipilih oleh pucuk pimpinan,” katanya.
Katanya, Raja Nong Chik seharusnya mencadangkan calon dalam kalangan UMNO Bahagian sendiri yang memegang jawatan.
Beliau berkata, UMNO juga sudah dua kali memberi peluang kepada Raja Nong Chik menjadi calon semasa PRU-13 dan PRU-14 dan agar menyerahkan kepada UMNO Bahagian menentukan siapa calon yang layak dibawa untuk PRU-15 nanti.
“Kalau tidak biar sahaja saya, budak kampung sini yang bertanding, kalau bukan tiga nama di atas. Turut menyokong cadangan agar Ketua UMNO Bahagian sebagai calon Lembah Pantai adalah sebahagian besar AJK UMNO Bahagian yang juga ketua-ketua UMNO Cawangan lainnya, antaranya Ketua Cawangan Vista Angkasa, Ismail Masri; Ketua Cawangan Pasir Permata, Arifin Abu Nawas; Ketua Cawangan Cempaka E, Termizi Mat Amin dan hampir ke semua Ketua Pemuda UMNO Cawangan Lembah Pantai,” katanya. – UtusanTV